X

Kindly register in order to view this article
!

Tandas uniseks di sekolah lahir kebimbangan ibu bapa

Terbaharu sekolah rendah Deanesfield di Ruislip turut menyediakan kemudahan sebegitu sehingga kalangan ibu bapa turut melancarkan petisyen bulan lalu terhadap pengenalan tandas uniseks. - Foto Agensi
A
A

LONDON - Trend menyediakan tandas uniseks di sekolah telah membuatkan golongan ibu bapa di England berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Malahan mereka mendakwa perkara itu juga tidak dibincangkan sebelum perubahan dibuat di sekolah anak-anak mereka.

Dengan peningkatan jumlah sekolah rendah dan menengah yang memasang tandas uniseks, sebahagian kanak-kanak perempuan sanggup mengambil risiko mengelak membuang air sepanjang hari dan sanggup tidak minum air di sekolah.

Ramai tidak setuju dengan penyediaan tandas begitu termasuk kalangan cendekiawan dan ahli politik sendiri, malah mereka menyeru sekolah-sekolah untuk menghentikan perancangan menyediakan tandas uniseks untuk mengelak sebarang kemudaratan terutama kepada murid perempuan.

Terbaharu, sekolah rendah Deanesfield di Ruislip turut menyediakan kemudahan sebegitu sehingga kalangan ibu bapa turut melancarkan petisyen bulan lalu terhadap pengenalan tandas uniseks.

Seorang ibu, yang mempunyai anak perempuan berusia 4 dan 8 tahun di sekolah tersebut berkata, tandas begitu tidak selamat kerana biliknya boleh dipanjat.

"Bilik-bilik itu terbuka di bahagian bawah dan atas sehingga murid-murid yang lebih dewasa dengan mudah dapat memanjat tandas," katanya.

Sementara itu, seorang doktor, Tessa Katz memberi pandangan, menahan kencing untuk tempoh lama secara berpanjangan boleh meningkatkan risiko gadis yang mengalami jangkitan kuman pada air kencing dan pundi kencing.

"Kesan psikologi pada kanak-kanak perempuan pula, mereka berasa tidak selamat untuk menggunakan tandas bercampur-campur," kata Dr Katz.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tory, David Davies berkata, transgender perlu mengutamakan wanita.

"Jika kanak-kanak perempuan tidak selesa berkongsi tandas dengan kanak-kanak lelaki, maka sekolah harus membuat peruntukan bagi mereka, bukan membiarkan mereka (gadis) berhadapan dengan masalah," katanya.

Dalam pada itu, bagi kumpulan penyokong transgender, Stephanie Davies-Arai berkata, sekolah-sekolah telah dimaklumkan oleh organisasi 'aktivis trans', adalah melanggar undang-undang persamaan jika mereka tidak membuat tandas uniseks. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus