Keputusan tepat untuk adakan inkues

A
A
A

SELEPAS 41 hari, 30 saksi dan 137 ekshibit, inkues yang diadakan untuk mengetahui punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akhirnya tamat.

Kita semua tahu bahawa Muhammad Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika menjalankan tugas semasa rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada tahun lepas. Tetapi, keadaan yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan tersebut tidak diketahui, walaupun ada pihak yang sudah pun buat kesimpulan bahawa beliau telah dipukul oleh perusuh.

Pada bulan Disember 2018, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah mengamalkan budi bicaranya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk mengarahkan Mahkamah Koroner untuk mengadakan inkues bagi mengetahui sebab kematian Muhammad Adib.

Ramai pada ketika itu yang sinis dengan keputusan tersebut. Mereka mendakwa bahawa inkues itu adalah percubaan untuk ‘mengaburkan mata’ orang ramai daripada mengetahui sebab sebenar kematian Adib.

Inkues tersebut bermula awal tahun ini dan telah mendapat liputan meluas dalam media. Namun demkian, walapun prosiding masih berlangsung, ada pihak yang masih mempersoalkan inkues tersebut. Contohnya, Setiausaha Agung Pas, Datuk

Takiyuddin Hassan pada bulan Mei lalu dilaporkan telah melontar soalan sama ada Peguam Negara tidak percaya pada hasil siasatan polis kerana telah memohon inkues tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pada bulan Mei tahun ini dilaporkan telah menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menggantikan inkues yang masih berlangsung pada ketika itu.

Kenyataan seperti itu jelas merupakan percubaan untuk menjejaskan kredibiliti inkues tersebut.

Artikel Berkaitan:

Koroner Rofiah Mohamad telah mendapati pada akhir inkues bahawa dua atau lebih orang telah menyebabkan kecederaan yang mengakibatkan kematian Adib.

Ini menunjukkan bahawa langkah untuk mengadakan inkues adalah keputusan yang tepat. Ia membolehkan saksi dipanggil, bukti dikemukakan dan teori dipertimbangkan yang membolehkan Mahkamah Koroner membuat dapatan yang sewajarnya melalui tribunal kehakiman yang bebas.

Tidak ada perkara yang boleh disembunyikan atau dipendam dalam inkues yang telus. Setiap langkah inkues tersebut dibuat dalam keadaan mahkamah yang terbuka kepada umum.

Ia juga membuktikan dakwaan kononnya itu percubaan untuk menyembunyikan kebenaran atau bahawa Peguam Negara kononnya telah campur tangan dalam inkues adalah dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Orang yang yang telah mempersoalkan inkues tersebut kini mengangkat pula keputusan inkues tersebut kerana mereka mahu mengambil kesempatan terhadap keputusan tersebut. Kini, tiada lagi gesaan-gesaan pembangkang supaya RCI diwujudkan.

Apa yang penting sekarang adalah pihak berkuasa bertindak mengikut dapatan Mahkamah Koroner dalam inkues tersebut. Polis perlu menyemak semula siasatan dan Peguam Negara juga telah berjanji bahawa pelaku-pelaku yang menyebabkan kematian Adib tidak akan terlepas.

Muhammad Adib gugur sebagai seorang wira semasa melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba. Saya percaya semua pihak mahu melihat pelaku-pelaku yang menyebabkan kematiannya dibawa ke muka pengadilan.

Dengan inkues tersebut, kita semakin hampir dengan kebenaran dan keadilan buat Allahyarham Adib.

***Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur