DAP tak berebut kerusi

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN- DAP tidak melihat parti itu mendominasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kerana calon dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) diputuskan untuk bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi DAP Parlimen Tanjung Piai, Yeo Tung Siong berkata, PH masih mengekalkan semangat setiakawan kerana parti komponen yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) akan dikekalkan pada PRK ini.

"Kita (PH) tidak pernah pertikaikan kerusi siapa. Kita buat pertimbangan dan kekalkan Bersatu yang bertanding, kita tidak berebut. PH tidak sama dengan parti politik lain apabila belum bertanding sudah berebut," katanya kepada Sinar Harian.

Tung Siong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas berkata, tidak timbul soal calon kerana beliau sendiri melihat ramai calon yang berpotensi untuk diketengahkan Bersatu terutama dalam kalangan anak tempatan.

"DAP yang sepatutnya bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai tetapi usaha Dr Farid (Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik) ketika itu, perundingan di peringkat parti bersetuju memberi laluan kepada Bersatu.

"Dr Farid bersungguh-sungguh membantu PH yang ketika itu pembangkang langsung tidak menerima sebarang peruntukan. Dia turun mendekati rakyat dan adakan program dengan duit poketnya sendiri," katanya.

Tung Siong berkata, Dr Farid tidak pernah menawarkan diri menjadi calon sebaliknya berusaha membantu PH di Parlimen Tanjung Piai.

"Ketika itu dirasakan sangat rugi kalau Dr Farid tidak jadi calon. Dia profesional dan begitu mudah mendekati rakyat. Saya berharap PH dapat meneruskan legasi kecemerlangan ditinggalkan Dr Farid di Parlimen Tanjung Piai.

Artikel Berkaitan:

"Calon yang dipilih kelak mestilah mempunyai ciri-ciri pemimpin seperti Dr Farid antaranya rajin, mesra rakyat, berfikiran terbuka, matang dan profesional," katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai (P165) memiliki 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.