Lebih setengah tan sampah dikumpul di Pulau Pemanggil

Antara yang terlibat dalam program IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup semalam. Gambar kecil: Akmal
Antara yang terlibat dalam program IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup semalam. Gambar kecil: Akmal
A
A
A

MERSING - Lebih setengah tan sampah berjaya dikumpulkan dari kawasan pantai dan dasar laut di Pulau Pemanggil Mersing Johor dalam program IIB CSR Saving Paradise: International Coastal Cleanup semalam.

Ketua Pegawai Operasi Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Akmal Ahmad berkata, sampah yang dikutip itu sebagai bukti bahawa usaha menyelamatkan alam sekitar tanggungjawab bersama.

"Pantainya tidaklah kotor sangat tapi kita perlu buat sesuatu dan lihatlah hasilnya. Kita berjaya menaikkan sampah dari dasar laut dan kumpulkan sampah yang hanyut di pantai seberat 573 kilogram (kg).

"Macam-macam ada termasuk pukat hantu, plastik, botol minuman dan macam-macam lagi," katanya kepada pemberita selepas program tersebut di sini semalam.

Seramai 55 sukarelawan terlibat dalam program itu termasuk kakitangan IIB, Jabatan Perikanan Johor dan NGO iCYCLE.

IIB turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan sekolah kepada 12 keluarga yang berdaftar di bawah program e-Kasih.

Dalam pada itu Akmal berkata, pihaknya sedang merancang untuk bekerjasama dengan universiti dari luar negara bagi program bimbingan dengan masyarakat setempat tidak lama lagi.

Sementara, Ketua Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Johor, Bahrinah Bahrim berkata, dalam program itu sebanyak 90 kilogram pukat hantu berjaya dinaikkan penyelam sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 573kg, 90kg sahaja pukat hantu yang kebanyakannya terperangkap pada terumbu karang dan sudah tentu ini merosakkan terumbu karang.

"Angka 573kg itu bukan satu angka yang baik. Isu sampah di kawasan pulau sudah lama dibincangkan dan kita harus akui tangan manusia punca kepada sampah-sampah ini yang mengancam hidupan marin," katanya.

Katanya, bagi tahun ini sahaja sebanyak satu tan pukat hantu telah berjaya dinaikkan oleh anggota Taman Laut Johor dan sukarelawan daripada pelbagai agensi serta NGO.

"Kita memang ada kerjasama dengan semua pemegang taruh Taman Laut Sultan Iskandar jadi setiap kali aktiviti menyelam dijalankan mereka akan maklumkan kepada pihak kami jika ada penemuan pukat hantu.

"Pukat hantu ini dibuat daripada plastik dan lazimnya mengambil masa 400 tahun atau lebih untuk diurai jadi jika tidak dikeluarkan selamanya pukat itu akan berada di dasar laut dan merosakkan ekosistem terumbu kita," katanya.