'Kawan sampai akhir hayat'

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di KM294.4 Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di KM294.4 Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi.
A
A
A

KAMPAR - "Sudah lama dia tak tukar kawan trip (lori), pergi mana-mana pun berdua. Tak sangka sampai akhir hayat pun tetap berdua," kata Mishayati Husin, 37, isteri kepada Robian Ramly, 43, yang maut dalam kemalangan di KM 294.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gopeng dekat sini pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 4.15 pagi itu, Robian dan rakannya, Abd Rafiq Rejab, 29, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit selepas lori muatan ikan dipandu Abd Rafiq gagal dikawal lalu melanggar belakang sebuah lori kontena yang berhenti akibat rosak.

Mishayati berkata, ketika kejadian kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke Kuala Perlis selepas menghantar bekalan ikan ke Kuala Lumpur.

"Dia jarang pergi dengan orang lain. Mungkin sebab serasi dan sudah lama kenal.

"Kebiasaannya kalau ada trip, saya yang akan hantar dia ke pasar nelayan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) Kuala Perlis tetapi semalam (kelmarin) Rafiq sendiri datang ke rumah jemput dia dengan lori," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar di sini.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi suami sekitar jam 11 malam tadi dan Allahyarham sempat berpesan supaya dia menjaga makan kerana ada penyakit asma.

"Arwah hanya maklumkan semuanya OK dan akan balik segera pagi ini.

"Kira-kira jam 7 pagi tadi ada kawan datang ke rumah dan memaklumkan suami saya meninggal dunia dalam kemalangan bersama Rafiq," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Besar Selatan, Kuala Perlis hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pemandu lori kontena berusia 43 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan tidak berusaha memandu lori muatan minyak masak terbabit ke lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan.

"Pemandu terbabit hanya meletakkan papan tanda segi tiga pada jarak lima meter (jarak mengikut piawaian 30 meter) dan menyalakan lampu kecemasan.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.