Bapa keji rakam video rogol, lakukan seks luar tabii dengan anak

Tertuduh berusia 41 tahun mengaku salah merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga seorang OKU di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori mengaku bersalah merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya berusia 12 tahun yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Lelaki berusia 41 tahun itu membuat pengakuan atas empat pertuduhan didakwa ke atasnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Marang kira-kira jam 11 pagi pada 20 September lalu sebelum mengulangi perbuatan itu di beranda rumah sama kira-kira 5 pagi pada keesokan hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Lelaki itu turut tertuduh didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang kira-kira jam 11 pagi pada 20 September lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu bakal dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan dengan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit mangsa pada masa, tarikh dan tempat sama seperti pertuduhan melakukan seks di luar tabii.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 30 tahun dan dikenakan tidak kurang daripada enam sebatan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Jamaludin Mat kemudian menetapkan 8 Oktober ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu lori ditahan selepas disyaki merogol anak kandungnya berusia 12 tahun yang juga OKU.

Bapa kepada dua anak itu ditahan susulan laporan dibuat isterinya yang berusia 33 tahun selepas anak sulung mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan, Marang kerana mengadu sakit di kemaluan.