Kongres Maruah Melayu bukan bermotif politik, perkauman: Dr Mahathir

Dr Mahathir (tengah) bersama Hadi (kiri) dan Annuar (kanan) pada sidang media di akhir KMM di Stadium Melawati Shah Alam di sini hari ini.
Dr Mahathir (tengah) bersama Hadi (kiri) dan Annuar (kanan) pada sidang media di akhir KMM di Stadium Melawati Shah Alam di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kongres Maruah Melayu (KMM) berlangsung di Stadium Melawati di sini hari ini bersifat rasis.

“Kita tak nak kecam orang Cina dan India, tetapi kita nak kecam orang Melayu, kenapa jadi begini sebab kerana mereka tidak buat apa yang harus dilakukan,” katanya pada sidang media di akhir KMM hari ini.

Dr Mahathir berkata, perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu juga bukan bermotifkan politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik.

Beliau menegaskan kehadiran wakil pelbagai parti politik pembangkang dalam kongres adalah kerana rasa bertanggungjawab dengan pemulihan maruah orang Melayu bukan untuk bercakap mengenai parti.

“Kita datang ke sini untuk bercakap mengenai kedudukan orang Melayu, kedudukan kita dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Kita mahu tahu di mana kesilapan kita sehingga menyebabkan orang Melayu ketinggalan berbanding bangsa lain,” katanya.

Mengenai saranan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang sebelum ini meminta penganjur tidak meneruskan kongres itu, Dr Mahathir berkata, ada pelbagai kongres dianjurkan selama ini.

Malah katanya, beliau sendiri pernah menghadiri dan merasmikan perhimpunan Cina Hakka yang mengumpulkan masyarakat itu dari seluruh dunia tanpa kehadiran seorang pun orang Melayu.

“Saya juga pernah hadir dan merasmikan perhimpunan bangsa lain, tidak ada yang menghalang atau membangkitkannya (menjadikan isu) mengenai kehadiran saya.

Artikel Berkaitan:

“Malah dalam perhimpunan dengan orang Hakka pun, tiada orang halang dan kata saya tidak patut hadir, kata saya hanya patut hadir (di) majlis anjuran orang Malaysia sahaja. Saya menyampaikan mesej diterima baik masyarakat Hakka dalam kongres bertaraf dunia itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi enggan ulas lanjut hadiri Kongres Maruah Melayu

Mengenai percanggahan KMM dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancar pada Sabtu lalu beliau berkata, perkongsian kemakmuran bermakna semua orang di negara ini berkongsi kemakmuran.

“Jika orang Melayu tidak merebut peluang daripada wawasan itu maka mereka tidak mendapat kemakmuran bersama itu,” katanya.

Mengenai resolusi hasil kongres terbabit, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil maklum semua permintaan, gesaan dan teguran dibuat namun tidak semua akan dipenuhi kerana ia bergantung kepada kemampuan dan keperluan semasa.

Ditanya mengenai cadangan mewujudkan sekolah satu aliran iaitu aliran kebangsaan di negara ini Perdana Menteri berkata, memang ada permintaan sedemikian tetapi tidak bermakna ia boleh terima begitu sahaja.

"Kita kena tengok apa boleh dibuat dan tidak boleh dibuat," katanya.

Mengulas kandungan ucapannya pada kongres berkenaan mengenai kelemahan dan kurangnya kuasa orang Melayu masa ini beliau berkata, orang Melayu kini bercakaran sesama sendiri.

"Kita berkelahi, itu sebab kita jadi lemah, kita suka sangat berkelahi, sebab itu kita lemah sekarang. Kita terbelah kepada enam (enam parti politik Melayu).

“Jawatan Perdana Menteri hanya satu ini enam nak jadi Perdana Menteri. Kalau ada enam Perdana Menteri, boleh kongsi seorang satu," katanya dalam nada berseloroh.

Kongres itu dihadiri pemimpin Umno dan Pas serta komponen Pakatan Harapan (PH) serta badan-badan bukan kerajaan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.