Tanah Kampung Baru tidak dijual kepada pihak luar: Tun M

Dr Mahathir menerima resolusi Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati di Shah Alam hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Mahathir menerima resolusi Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati di Shah Alam hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Tanah Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu negara bukan untuk dijual kepada individu atau pihak luar, sebaliknya kepada agensi kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agensi kerajaan itu berperanan membantu pemilik tanah untuk membangunkan kampung berkenaan tanpa mengabaikan ciri-ciri asal tanah Melayu.

Menurutnya, tanah Kampung Baru dahulunya tanah pertanian tetapi kini hanya sesuai untuk perniagaan, namun pemilik tanah tidak mempunyai cukup wang untuk membangunkan kawasan tersebut.

“Kita lihat masih ada rumah lama berbumbung zink serta berkarat. Keadaan ini tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan keadaan semasa di kawasan penempatan kampung berkenaan seperti ‘kudis’ yang terletak di tengah bandar yang pesat serta dikelilingi bangunan pencakar langit.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada 21 September lalu mengumumkan tawaran harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi.

"Harga tawaran ini adalah dengan memastikan projek ini mampu berjalan. Kalau beli harga mahal, akhirnya kita kena jual dengan harga yang mahal sedangkan hartanah yang mahu dibina mahu kekal milik orang Melayu," katanya pada sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tawar beli tanah Kampung Baru RM850 satu kaki persegi

Artikel Berkaitan:

Khalid akan jumpa PM bincang harga Kampung Baru

Beliau juga memberi jaminan kerajaan akan memastikan tanah berkenaan tidak dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Tumpuan pembangunan Kampung Baru yang dirancang bakal meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim pula dilaporkan berkata, tawaran harga oleh kerajaan itu menimbulkan persoalan kerana nilai semasa tanah di situ dipercayai lebih RM2,000 sekaki persegi.