Permintaan produk FGV meningkat

Nazri (duduk, dua dari kiri) bersama ahli koperasi selepas Mesyuarat Agung Koperasi Bekas Tentera Malaysia Jerantut Berhad semalam.
Nazri (duduk, dua dari kiri) bersama ahli koperasi selepas Mesyuarat Agung Koperasi Bekas Tentera Malaysia Jerantut Berhad semalam.
A
A
A

JERANTUT - Permintaan terhadap produk keluaran Felda Global Ventures (FGV) Holding Berhad di pasaran semakin meningkat berikutan kesedaran orang ramai di negeri itu terhadap kempen beli produk Muslim.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kempen tersebut sebenarnya sudah lama diadakan namun umat Islam sekarang semakin sedar mengenai kepentingan untuk meningkatkan ekonomi peniaga Muslim.

"Produk-produk keluaran anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products Sdn Bhd terutama minyak masak dan susu jenama Saji semakin laris di pasaran.

"Saya berharap umat Islam terus memberikan sokongan selain tidak menjadikan kempen ini sekadar mengikut musim sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Bekas Tentera Malaysia Jerantut Berhad kali keenam di sini semalam.

Menurutnya, sambutan luar biasa terhadap produk FGV menyebabkan peniaga terutama di pasar raya terpaksa menambah stok dalam masa singkat.

"Saya difahamkan ada sesetengah pasar raya dan kedai di negeri ini cepat kehabisan stok malah tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Nazri juga turut meminta pihak pengurusan koperasi lebih bijak mencari peluang untuk menjana pendapatan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka perlu menguruskan koperasi dengan baik dan menambah pendapatan bagi membolehkan agihan dividen kepada ahli dilakukan setiap tahun," katanya.