Lapan 'superman' ke lokap

Antara yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kesas, malam tadi.
Antara yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kesas, malam tadi.
A
A
A

KLANG - Rasa gian malam minggu sekumpulan mat rempit untuk berlumba hanya mengundang padah apabila mereka dicekup dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Shah Alam Expressway (Kesas), malam tadi.

Operasi bermula kira-kira 11 malam itu, dijalankan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Bukit Aman hasil risikan dan pemantauan.

Difahamkan, penunggang terbabit turut melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti 'superman', 'zig zag' dan 'wheelie'.

Pegawai Turusnya, Asisten Superintendan Norlatifah Samsudin berkata, seramai lapan lelaki berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun berjaya ditahan ketika berlumba.

"Kesemua penunggang motosikal terbabit dikesan menunggang secara melulu dan merbahaya bermula dari Kilometer (KM) 19 hingga KM 24.6 Lebuhraya Kesas sebelum berpatah balik sebanyak beberapa pusingan.

Antara motosikal yang diguna dipercayai dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Kesas, malam tadi.
Antara motosikal yang diguna dipercayai dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Kesas, malam tadi.

"Tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan kesemua penunggang motosikal terbabit untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati salah seorang yang ditahan membabitkan warga Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara motosikal yang digunakan adalah Yamaha RXZ, Yamaha Lagenda 115, Yamaha LC135 dan Yamaha R25.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.