KPDNHEP Sabah kendali 154 kes babitkan nilai rampasan RM200,000

peta
peta
A
A
A

SANDAKAN - Sebanyak 154 kes membabitkan pelbagai kesalahan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sandakan sejak awal tahun ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Mohamad Hashim berkata kes tersebut melibatkan nilai rampasan berjumlah RM234,533.47 selepas 7,566 premis diperiksa.

“Nilai kompaun yang dikenakan pula berjumlah RM100,329 manakala nilai hasil jualan rampasan yang dijadikan hasil kerajaan melibatkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ialah RM7,282,” katanya kepada pemberita selepas program memusnahkan barang kes di sini hari ini.

Mohamad juga berkata, terdapat barang rampasan yang dilupuskan dengan cara didermakan kepada Kolej Vokasional Sandakan.

Sepanjang tahun ini, KPDNHEP Sandakan turut menerima serahan kes daripada agensi penguat kuasa lain iaitu enam kes Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dan satu kes akta sama daripada Pasukan Gerakan Am, serta dua kes Akta Perihal Dagangan 2011 daripada PPM Sandakan.

“KPDNHEP akan sentiasa menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain seperti Jabatan Imigresen, PPM, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi menangani penyelewengan barang bersubsidi seperti petrol, diesel dan minyak masak,” tambahnya.

Pada program itu, sebanyak 7,117 cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) bernilai RM71,170 dilupuskan.

Menurut Mohamad, barangan tersebut merupakan satu daripada kes yang diambil tindakan yang pesalah dilucutkan hak ke atas barang kes tersebut oleh mahkamah pada 2011. - Bernama

Artikel Berkaitan: