Geng mak cik mengaji belajar bahasa Mandarin

Video Ropia'ah mengajar bahasa Mandarin yang tular dalam laman sosial.
Video Ropia'ah mengajar bahasa Mandarin yang tular dalam laman sosial.
A
A
A

KEPALA BATAS - Video gelagat sekumpulan mak cik yang berpakaian sedondon mengikuti kelas bahasa Mandarin mencuri perhatian warganet sejak tiga hari lalu.

Video berdurasi 2 minit itu memaparkan kumpulan tersebut mempelajari asas bahasa Mandarin daripada seorang bekas guru sebaik selesai mengikuti kelas mengaji al-Quran dan tajwid di sebuah rumah guru agama di Padang Cempedak, Tasek Gelugor di sini.

Video yang dimuat naik di laman Twitter oleh Aina Zulaikha Sobri, 21, dengan keterangan 'Comel gila mak aku ajar Mandarin dekat mak cik-mak cik' mendapat pelbagai reaksi positif, malah ada yang kagum dengan kebolehan emaknya berbahasa mandarin.

Aina Zulaikha ketika dihubungi Sinar Harian tidak menyangka video dirakam ustazah yang mengajar kumpulan wanita berkenaan mengaji menjadi tular di laman sosial.

Video sekumpulan wanita belajar bahasa Mandarin yang tular dalam media sosial.
Video sekumpulan wanita belajar bahasa Mandarin yang tular dalam media sosial.

Pelajar jurusan Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Mara Arau itu berkata, emaknya, Ropia'ah Othman, 59, sebelum ini mengajar bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hwa, Pinang Tunggal dan baharu sahaja bersara beberapa tahun lepas.

"Video tu diambil selepas mereka habis kelas mengaji. Ada di antara kawan mak yang minta dia ajarkan mereka perkataan asas dalam bahasa Mandarin.

Artikel Berkaitan:

"Tak sangka video yang baharu dimuat naik kelmarin (tiga hari lalu) mendapat lebih 200,000 tontonan, lebih 10,000 tanda suka dan 8,859 ulang kicau," katanya.

Aina Zulaikha berkata, selepas video berkenaan tular, beberapa individu menghantar mesej kepadanya dan mahu mempelajari bahasa Mandarin daripada emaknya.

Malah katanya, sejak tular video berkenaan, ada antara bekas murid emaknya turut menghubungi Ropia'ah dan mahu bertemu semula dengan bekas guru mereka.

"Emak pada mulanya marah juga bila tahu videonya tular di laman sosial, namun selepas dia melihat banyak reaksi positif, dia tak jadi marah.

"Mungkin selepas ini kelas bahasa Mandarin mak saya akan diteruskan selepas mereka habis kelas mengaji al-Quran dan tajwid bersama ustazah," katanya.