Kes 3 beradik lemas: MB Terengganu ucap takziah

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA NERUS - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga tragedi mangsa lemas di Pantai Sura, Dungun pada Ahad lalu.

Beliau turut berkongsi rasa sedih dengan kejadian itu meminta ahli keluarga kepada tiga adik beradik yang terlibat supaya bersabar.

"Saya bagi pihak seluruh kepimpinan kerajaan negeri Terengganu dan rakyat negeri Terengganu mengucapkan takziah di atas kehilangan tiga anak anak dalam tragedi di Dungun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) sempena Hari Pertama Persekolahan 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu tragedi yang tidak mampu untuk didengari atau dialami dalam apa jua waktu sekalipun dan berharap agar ia tidak berulang lagi.

"Jadi kita akan berbincang di peringkat kerajaan (negeri) bagaimana kita boleh mengambil langkah-langkah produktif untuk menghalang daripada kejadian ini berlaku.

"Termasuklah penyediaan papan tanda papan tanda di tempat tempat yang berisiko sebab suasana air laut hatta di sungai sekalipun berbeza pada setiap bulan, lebih-lebih lagi musim tengkujuh.

"Jadi ini peringatan peringatan yang perlu diambil serius oleh ibu bapa yang perlu mendengar daripada penduduk tempatan terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan untuk berada di air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau sekali lagi menyeru kepada keluarga anak anak mangsa terbabit supaya bersabar dengan ujian ALLAH ini dan InsyaALLAH kita semua mendoakan ketiga tiga mereka berada di bawah rahmat ALLAH.