X

Kindly register in order to view this article
!

Terlalu banyak portal cari jodoh tapi bab mencari jodoh, ramai nak tahu...

PENGGUNAAN portal mencari jodoh pada asalnya adalah diharuskan berdasarkan kaedah fekah.
A
A

DENGAN kecanggihan teknologi pada hari ini, bukan sahaja informasi yang boleh diperoleh, malah jodoh juga boleh dicari di internet.

Masakan tidak, pada hari ini, ada banyak portal mencari jodoh yang membantu masyarakat untuk memilih pasangan masing-masing seterusnya menghalalkan hubungan mereka dengan ikatan perkahwinan.

Apakah hukum mencari jodoh dalam laman sesawang sebegini? Bagaimana pula jika kita memuat naik gambar yang barangkali bersifat tabarruj di portal berkenaan?

Sebenarnya, tiada masalah jika kita ingin menggunakan laman web mencari jodoh berkenaan.

Ini kerana penggunaan portal tersebut pada asalnya adalah diharuskan berdasarkan kaedah fekah iaitu "pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya".

Tujuan pembinaan laman web berkenaan diharuskan sekiranya matlamatnya adalah untuk kebaikan.

Namun, ia menjadi haram jika bertujuan untuk kemaksiatan.

Begitu juga dengan tujuan dan tatacara penggunaannya yang berdasarkan hukum yang hendak dicapai.

Ia bermaksud, setiap perkara yang membawa kepada hukum haram, maka matlamat yang hendak dicapai itu juga haram hukumnya.

Bagaimana pula hukumnya jika gambar tabarruj dimuat naik dalam portal berkenaan?

Hukumnya adalah haram jika gambar berkenaan bersifat tabarruj dan menonjolkan perhiasan yang berlebihan hingga boleh menimbulkan syahwat dan fitnah kepada orang yang melihatnya.

Sebaiknya, pihak yang menguruskan laman sesawang berkenaan perlulah menetapkan garis panduan yang sepatutnya antaranya gambar menutup aurat, menjaga privasi pengguna dan menjaga batas pergaulan yang berlainan jantina serta selainnya.

Apapun gunakan kemudahan teknologi dengan sebaiknya dan jangan sampai ia 'memakan' diri kita.

Sesungguhnya kemudahan itu dicipta untuk menyenangkan kerja kita, bukan untuk menghakis pahala kita.

(Sumber: Alkafi #1369: Apakah Hukum Menggunakan Page Mencari Jodoh untuk Muat Naik Gambar di dalamnya, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)