16 nelayan Vietnam terjun laut elak dicekup

Rashidilhadi (kanan) melihat antara hasil laut yang dirampas di atas bot nelayan Vietnam yang dibawa ke jeti APMM Terengganu semalam.
Rashidilhadi (kanan) melihat antara hasil laut yang dirampas di atas bot nelayan Vietnam yang dibawa ke jeti APMM Terengganu semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 16 nelayan warga Vietnam yang masih berdegil menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia bertindak terjun ke dalam laut selepas panik melihat bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 pagi, kesemua nelayan berusia antara 15 hingga 47 tahun itu dikesan sedang leka menangkap ikan di 108 batu nautika dari muara Kuala Terengganu di sini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kehadiran bot nelayan asing itu dikesan oleh kapal Maritim yang sedang melakukan rondaan Ops Naga Barat dan Op Iman.

"Sejurus ternampak kapal kami menghampiri lokasi, mereka nekad terjun ke laut dan berenang menuju ke pelantar minyak Bargading CPP yang terletak lebih kurang 50 meter sahaja dari kedudukan mereka.

"Mereka sanggup menanggung risiko memanjat kawasan pelantar minyak yang berbahaya dengan beranggapan pihak kami gagal mengesan mereka dan sekaligus mengelak ditahan.

"Bagaimanapun dengan bantuan pekerja di pelantar terbabit yang mengangkat kami menggunakan kren, akhirnya kesemua mereka berjaya ditahan," katanya pada sidang media di pejabat APMM di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, selain itu pihaknya turut membuat rampasan bernilai hampir RM1 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Bagi kesalahan itu mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.

Sementara itu, katanya, sempena Op Naga Barat Siri 1/2019 yang bermula 26 April lalu hingga sekarang, pihaknya membuat sebanyak 1,967 pemeriksaan dan 112 tangkapan dilakukan.

"Kami tidak akan sesekali berputus asa dan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan berterusan di perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

"Justeru itu kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 ( Pusat Operasi) APMM Terengganu," katanya.