Imigresen serbu kondominium, tahan 17 warga asing

Jabatan Imigresen Malaysia
Jabatan Imigresen Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia menahan 12 warga Nigeria termasuk seorang wanita dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sebuah kondominium di Batu 9, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan selama lebih dua jam bermula 12.30 tengah malam itu turut menahan dua lelaki warganegara China yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Selain tangkapan dua warga China itu, kami turut merampas sebanyak enam unit komputer riba, 18 unit telefon bimbit dan 19 cakera keras yang disyaki digunakan untuk kegiatan judi dalam talian," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua rampasan akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Kami turut menahan tiga wanita warga Thailand yang disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral berdasarkan pemeriksaan Pas Lawatan Sosial mereka yang menunjukkan rekod keluar masuk yang kerap sejak tahun lalu," katanya.

Katanya kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah serta tinggal lebih masa. - Bernama

Artikel Berkaitan: