Budak 11 tahun derita kanser

Nor Sakilawati (dua dari kiri) sedang mengelap kepala anaknya sambil diperhatikan oleh Maznah (kanan) di rumah mereka di sini hari ini.
Nor Sakilawati (dua dari kiri) sedang mengelap kepala anaknya sambil diperhatikan oleh Maznah (kanan) di rumah mereka di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki yang menderita penyakit kanser Neuroblastoma (berkaitan saraf) terpaksa menghabiskan masa sehariannya di atas katil kerana tidak mampu berjalan sejak Februari tahun lalu.

Ibunya, Nor Sakilawati Omar, 33, berkata, pada mulanya anak sulungnya, Muhammad Saiful Nizam Mohd Safizan, 11, hanya mengalami demam panas selain tidak membuang air besar selama beberapa hari.

Menurutnya, setelah merujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan menjalani beberapa ujian, doktor mendapati terdapat ketumbuhan di perutnya.

"Atas nasihat doktor anak saya kemudiannya menjalani rawatan kemoterapi dan menamatkan rawatan berkenaan pada Februari lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Pangas, Mukim Kubang Rotan di sini hari ini.

Nor Sakilawati berkata, berbekalkan semangat dan azam yang tinggi anaknya itu kembali menjalani rutin persekolahan seperti biasa.

"Namun sejak Ogos lalu Saiful sudah tidak larat untuk ke sekolah malah selalu mengadu sakit, lenguh-lenguh di seluruh badan selain badannya sering panas.

"Baru-baru ini, doktor yang merawatnya menjangkakan Saiful hanya mampu bertahan kira-kira dua bulan sahaja lagi. Walaupun berita itu amat memeritkan tetapi saya tetap reda," katanya sayu.

Dia berkata, disebabkan kesihatan anaknya yang tidak menentu, dia dan suaminya, Mohd Safizan Fazin, 33, terpaksa mengorbankan kerja mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang kalau ibu saya telefon beritahu Saiful sakit, saya dan suami terpaksa segera pulang mujurlah majikan faham situasi kami," katanya yang bekerja di kilang yang sama dengan suaminya di Jitra.

Sementara itu, nasib Muhammad Saiful Nizam mendapat perhatian Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara yang menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan kepada keluarganya.

Pengerusinya, Maznah Tayib berkata, beliau sangat berharap agensi-agensi lain termasuk pemimpin setempat peka dengan nasib kanak-kanak seperti ini.

"Sebenarnya ramai lagi kanak-kanak yang menghidap penyakit seperti ini yang memerlukan perhatian malah ada yang datang dari keluarga yang serba kekurangan," katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut terutamanya dari segi kewangan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB 1-02050-0005062-5 atas nama Nor Sakilawati.