Belanjawan 2020: Bomba harap permohonan dipertimbangkan

Hamdan Wahid
Hamdan Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengharapkan permohonan bagi Belanjawan 2020 yang dibentangkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapat pertimbangan sewajarnya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia penting bagi pemerkasaan kebombaan dan keselamatan kebakaran.

Menurutnya, banyak elemen yang dimasukkan dalam permohonan itu antaranya daripada aspek logistik, aset, penyelenggaraan dan pemodenan termasuk aspek pemerkasaan modal insan.

“Kita harap kerajaan dapat memberi pertimbangan wajar termasuk dalam aspek bidang tertentu seperti aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja kita.

“Antara yang kita tuntut sejak tahun 2015 ialah elaun perkhidmatan kebombaan iaitu bagi pegawai terendah hingga pegawai tertinggi dalam jabatan seperti mana yang telah diterima oleh polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kita juga jangka akan dapat 11 balai bomba baharu bagi kategori tertentu di seluruh negara termasuk kategori E yg baharu diperkenalkan di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini hari ini.

Hamdan bersama pemenang Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM Tahun 2019 di sini hari ini.
Hamdan bersama pemenang Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM Tahun 2019 di sini hari ini.

Sementara itu, pasukan Perak muncul juara kejohanan itu setelah menewaskan Sabah 3-1 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan medal manakala naib johan, menerima RM3,000 dan medal.

Artikel Berkaitan:

Pasukan tuan rumah, Terengganu pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan medal.

Hamdan berkata, penganjuran kejohanan tersebut secara tidak langsung dapat memastikan warga JBPM sentiasa terlibat dalam program berbentuk kesukanan ke arah meningkatkan kecergasan fizikal dan mental mereka.

“Dalam masa sama, kita dapat mencungkil bakat baharu yang mempunyai kebolehan bermain bola memandangkan terdapat kejohanan di peringkat antarabangsa, negeri dan daerah yang boleh disertai,” katanya.