Bayi ditinggalkan selepas seminggu bersalin

Salmah menunjukkan bayi dan sijil kelahiran yang telah didaftarkan.
A
A

Pasangan suami isteri cari wanita Indonesia, Sri Ngenana Surbakti yang tinggalkan bayinya tanpa sebarang dokumen

KLUANG - Sepasang suami isteri di Jalan Yap Tau Sah, di sini, mencari seorang wanita warganegara Indonesia yang meninggalkan bayi perempuan yang baharu dilahirkan selepas seminggu menumpang di kediaman mereka.

Salmah Abd Wahid, 32, berkata, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Sri Ngenana Surbakti, 29, dipercayai bekerja di sebuah kilang di sekitar bandar Kluang dan tidak dapat dihubungi selepas meninggalkan bayinya untuk keluar bekerja.

"Ketika melahirkan bayi yang diberi nama Nur Aafiyah Abdullah pada 20 September lalu, wanita berkenaan mengadu kepada salah seorang saudara saya bahawa dia kesempitan wang untuk membayar kos bersalin di sebuah klinik swasta.

"Simpati dengan nasib wanita terbabit, saya membantunya melunaskan semua bayaran dan dia berjanji untuk membayarnya semula selepas berpantang selain minta ditumpangkan di rumah saya sehingga keadaannya kembali sihat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan suaminya, Muhamad Ariful Islam, 34, kemudian bersetuju menumpangkan wanita tersebut di rumahnya, namun pada hari ketujuh, wanita berkenaan mendakwa mahu keluar bekerja selain tidak mahu menyusahkannya.

Katanya, tanpa disedari, wanita berkenaan keluar membawa sedikit pakaiannya, namun meninggalkan bayinya tanpa sebarang dokumen selain sijil pengesahan kelahiran menyebabkan kesukaran untuk membuat sijil pendaftaran kelahiran.

"Tanpa sebarang dokumen yang lengkap, kelahiran bayi berkenaan akhirnya dapat didaftarkan, namun terpaksa diletakkan sebagai bukan warganegara dan keadaan ini menyukarkan kami untuk urusan kesihatannya.

"Jadi, saya harap wanita berkenaan tampil menemui kami untuk membuat urusan penyerahan anak angkat secara sah di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang selain memberikan beberapa dokumen berkaitan,” katanya.

Menurutnya, dia percaya wanita tersebut yang masih berada di sekitar daerah ini dapat menghubunginya di talian 0177097518 bagi melakukan urusan berkaitan demi kebajikan masa depan bayi berkenaan.

Sesiapa mengenali Sri Ngenana Surbakti boleh hubungi di talian 0177097518.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia