Ramsey tekad raih lebih banyak kejuaraan bersama Juventus

Aksi Ramsey ketika menentang Spal pada saingan Serie A di Stadium Turin pada 28 September lalu. FOTO: AFP
Aksi Ramsey ketika menentang Spal pada saingan Serie A di Stadium Turin pada 28 September lalu. FOTO: AFP
A
A
A

PENYERANG Juventus, Aaron Ramsey bertekad meraih kepercayaan pengendali Maurizio Sarri seterusnya membawa lebih banyak trofi kejuaraan pada musim pertamanya bersama The Old Lady musim ini.

Menurut pemain Wales berusia 28 tahun itu, pada masa sama beliau mahu kehadirannya bersama gergasi Serie A diterima oleh penyokong kelab Turin berkenaan.

"Saya akui ia mengambil masa untuk menjadi pilihan utama bersama Juventus kerana perlu bersaing bersama pemain terbaik lain.

" Ia satu cabaran kepada saya kerana saya ingin membantu kelab meraih pelbagai kejuaraan pada musim ini," katanya.

Pemain yang terkenal dengan jolokan Rambo itu hadir ke Turin setelah kontraknya bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal berakhir musim lalu.

Mengakui atmosfera motivasi bersama Juventus berlainan berbanding kelab lama sebelum ini Ramsey berkata: "Semua orang di Juventus fokus kepada misi kelab iaitu memenangi pertandingan dan trofi.

" Para pemain di sini sangat bermotivasi dan fokus untuk melakukan apa sahaja bagi merealisasi impian kelab.

"Jadi saya harus membuktikan diri kepada rakan sepasukan, staf pelatih dan penyokong."

Artikel Berkaitan:

Pada musim ini bekas pemain Cardiff City itu masih belum berpeluang membarisi kesebelasan utama Juventus apabila sekadar beraksi 198 minit sahaja.

Pemain dari Caerphilly itu pada empat perlawanan sebelum ini menjaringkan satu gol ketika menewaskan Hellas Verona.