Kerajaan mungkin terpaksa perkenalkan cukai-cukai baharu: PM

Mahathir, Azmin, Azizah.
Mahathir, Azmin, Azizah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu bagi memperkemaskan lagi sistem cukai di negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, perlaksanaan itu tidak akan membebankan rakyat sebaliknya demi sistem cukai yang lebih adil.

“Sistem percukaian ini dulu kita tak kenakan dengan cara tertib, tersusun dan banyak orang yang terlepas daripada membayar cukai.

“Ini akan diperkemaskan lagi dan kita akan ada agensi cukai pendapatan umpamanya akan diperkemaskan.

“Kita mungkin terpaksa memperkenalkan cukai-cukai baharu yang tidak terlalu membebankan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pagi tadi.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selaras dengan kehendak rakyat.

Sementara itu, WKB 2030 menyenaraikan kemampanan fiskal sebagai salah satu daripada lapan Pemboleh Daya Kemakmuran Bersama.

Antara isu dan cabaran yang ditekankan adalah ruang fiskal yang terhad terus mengekang pembiayaan sektor awam untuk melaksanakan program dan projek pembangunan selain struktur hasil negara yang masih bergantung kepada cukai langsung dan asas percukaian kecil telah mengehadkan kutipan hasil kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pengenalan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST turut memberi impak ke atas kutipan hasil negara.

Justeru, antara cadangan dan strategi yang digariskan adalah memperkenalkan inisiatif baharu untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluaskan asas cukai.