Pesuruhjaya Pas Perlis kini stabil

Mohd Shukri. Foto: Ihsan FB Mohd Shukri
Mohd Shukri. Foto: Ihsan FB Mohd Shukri
A
A
A

KANGAR - Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini kritikal di Unit Rawatan Koronori (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dilaporkan stabil.

Perkara itu dikongsi oleh anak perempuannya, Masyitah Shukri, menerusi hantaran dalam laman Facebook, lewat malam tadi.

Menurut perkongsian itu, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis dikatakan mulai sedar setelah dimasukkan ke HSB Selasa lepas.

"Alhamdulillah, berkat doa semua yang tak putus-putus mendoakan Abah...hari ini Abah dah sedar,” katanya dalam hantaran itu.

Bagaimanapun menurut Masyitah, Mohd Shukri mengalami demam awal pagi ini, namun suhu badannya menunjukkan sedikit penurunan selain membuka matanya.

"Masa Abah buka mata tadi, suhu Abah dah turun sikit 37.5°C. Alhamdulillah syukur sangat-sangat. Berkat doa semua pada hari Jumaat yang mulia,” tulisnya yang turut mewakili keluarganya berterima kasih kepada orang ramai yang tidak henti mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ayahnya.

Baru-baru ini, Mohd Shukri dilaporkan masih kritikal sejak petang Ahad, selepas dimasukkan ke hospital setelah terjatuh akibat serangan jantung ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional di Dewan 2020, Kangar, Ahad lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: