X

Kindly register in order to view this article
!

Mahu pinjam RM300,000 tapi lesap RM125,000

MOHD WAZIR
A
A

KUANTAN- Seorang pengurus sebuah syarikat di sini kerugian RM125,919.20 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di Facebook bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 34 tahun itu tertarik dengan iklan berkenaan dan berhasrat membuat pinjaman.

Menurutnya, mangsa kemudian mengisi butiran peribadi di ruangan disediakan dengan jumlah pinjaman RM300,000 pada 25 September lalu.

"Mangsa membuat pinjaman sebanyak itu bagi memulakan perniagaan dan kemudian menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ivy Yeoh Pey Shan.

"Melalui pesanan itu suspek mendakwa dirinya sebagai pegawai sebuah bank di Kuala Lumpur dan akan memproses permohonan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, suspek juga memberitahu mangsa akan menerima satu lagi panggilan daripada individu yang kononnya dari bahagian kredit bank berkenaan untuk membuat pengesahan maklumat mangsa.

Mohd Wazir berkata, bagi memastikan pinjamannya mendapat kelulusan, mangsa mengikut semua permintaan daripada suspek.

"Pada Selasa lalu, mangsa membuat 14 pindahan wang berjumlah RM125,919.20 kononnya untuk bayaran bagi semua perkhidmatan terbabit di sebuah bank di bandar ini ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek," katanya

Mohd Wazir berkata, mangsa menyedari ditipu selepas masih belum menerima pinjaman peribadi itu sehingga kini.

Tambahnya, mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun talian sudah disekat dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus