KPLB sasar nilai jualan KUD RM40 juta

R Sivarasa - Foto ZAHID IZZANI
R Sivarasa - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

CYBERJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM40 juta pada Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 17 hingga 21 Oktober ini.

Timbalan Menterinya, R Sivarasa berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan jangkaan kira-kira dua juta pengunjung yang akan mengunjungi karnival selama lima hari itu.

Menurutnya, meskipun sasaran nilai jualan RM40 juta dianggap agak tinggi, namun beliau optimis ia mampu dicapai.

"Dianggarkan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara akan dikumpulkan pada kemuncak KUD di Putrajaya nanti.

"Matlamat karnival ini diadakan untuk membantu mempromosikan lagi produk yang dihasilkan usahawan tempatan.

"Jadi kita harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi karnival jualan yang berskala besar ini dengan menampilkan pelbagai produk seperti makanan, perkhidmatan, pakaian dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Kayuhan Santai KUD@KPLB di Persiaran Flora di sini malam tadi.

Hadir sama, Orang Besar Daerah Sepang, Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus.

Artikel Berkaitan:

Hampir 3,000 peserta mengambil bahagian dalam Kayuhan Santai Karnival KUD@KPLB anjuran KPLB dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Kayuhan itu diadakan bertujuan untuk mempromosikan KUD@KPLB 2019 Putrajaya yang akan berlangsung pada 17 hingga 21 Oktober nanti.

Sivarasa mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan Kayuhan Santai Karnival KUD@KPLB Putrajaya 2019 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Persiaran Flora Cyberjaya. - Foto ZAHID IZZANI
Sivarasa mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan Kayuhan Santai Karnival KUD@KPLB Putrajaya 2019 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Persiaran Flora Cyberjaya. - Foto ZAHID IZZANI