Malaysia memasuki era baharu esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memasuki era baharu apabila Wawasan Kemakmuran Bersama yang menjadi satu paradigma 'memandu' pembangunan sosio-ekonomi negara sehingga 2030 akan dilancarkan esok.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wawasan dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk rakyat.

Menurutnya, negara ini berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat perang perdagangan.

“Wawasan Kemakmuran Bersama akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

"Wawasan ini akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi negara melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, memperkasa kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

“Ia akan menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat serta memantapkan kestabilan negara sebagai sebuah negara demokratik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, keindahan kemakmuran bersama bakal menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

Menurutnya, wawasan tersebut adalah fajar yang terbit dalam era Malaysia Baharu demi menjamin pembelaan dan mengangkat martabat rakyat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga fokus utama kurangkan jurang kemiskinan