Cuepacs gesa KKM buka semula sembilan ILKKM

Azih (tengah) pada sidang media di Wisma Cuepacs hari ini.
Azih (tengah) pada sidang media di Wisma Cuepacs hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah langkah Kementerian Kesihatan menutup sembilan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Julai lalu.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penutupan telah menjejaskan sekurang-kurangnya 375 kakitangan di institut berkenaan yang mempunyai kemahiran tinggi setanding peringkat antarabangsa.

"Ia melibatkan ILKKM Pasir Mas, Kelantan; George Town, Pulau Pinang; Kulim, Kedah; Port Dickson, Negeri Sembilan; Serian, Sarawak; Jerantut, Pahang; Segamat dan Keluang di Johor serta Batu Rakit, Terengganu.

"Institut-institut ini tidak seharusnya ditutup. Ia perlu dikekalkan supaya boleh melahirkan tenaga terlatih dan pakar yang nanti akan memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs hari ini.

Beliau berkata, walaupun mereka bukanlah kakitangan awam yang dibuang perjawatannya, namun penutupan itu memberi tekanan kepada mereka kerana dipindahkan ke satu lokasi agak jauh dan ada pula dihantar ke negeri lain.

“Hari ini Cuepacs melahirkan rasa kecewa dan dukacita setelah begitu lama mereka berkhidmat untuk melahirkan pekerja pakar bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dalam negara ini dengan mencapai tahap piawaian yang tinggi, tapi akhirnya peluang ini tak ada lagi," katanya.

Terdahulu, Azih bersama barisan kepimpinan Cuepacs mengadakan pertemuan dengan 20 wakil kepimpinan kesatuan yang berada di bawah KKM.

Pertemuan itu diadakan sebagai medan meluahkan rasa kecewa wakil kepimpinan kesatuan terbabit terhadap langkah KKM yang menutup sembilan institut latihan pengajaran itu Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa, tidak ada sebarang perbincangan dibuat oleh pihak KKM berhubung penutupan itu dan ia dibuat secara mengejut.

Dalam pada itu, Azih menggesa KKM membuka semula sembilan institut yang telah ditutup tersebut demi menjaga kebajikan kakitangan terlibat.

Malah, cadangan untuk menutup sebanyak 19 lagi ILKKM secara berperingkat di bawah KKM perlu dihentikan kerana ia merupakan satu tindakan yang amat tidak wajar.

Sehubungan itu, Azih berkata, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bagi membincangkan perkara tersebut dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.