Malaysia kurang pakar geriatrik

Dr Lee (dua dari kanan) sempat bertanya khabar seorang pesakit, Hamzah Mansor semasa melawat Wad Rehabilitasi Geriatrik HoKKU di Hospital Kuala Nerang.
Dr Lee (dua dari kanan) sempat bertanya khabar seorang pesakit, Hamzah Mansor semasa melawat Wad Rehabilitasi Geriatrik HoKKU di Hospital Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Malaysia kekurangan kira-kira 600 pakar geriatrik bagi menampung bilangan pesakit warga emas yang semakin meningkat, dengan hanya 36 pakar geriatrik di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sehingga 2017, statistik bilangan penduduk dalam negara menunjukkan warga emas berumur 65 tahun ke atas berjumlah dua juta orang ataupun 6.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia dan jumlah tersebut dijangka mencecah 13.6 peratus menjelang 2030.

"Buat masa ini, wad geriatrik hanya terdapat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Melaka, Hospital Taiping, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah," katanya sempena lawatan kerja rasmi dan Majlis Perasmian Wad Rehabilitasi Geriatrik Hospital Kluster Kedah Utara (HoKKU) di Hospital Kuala Nerang hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Mengulas lanjut Dr Lee berkata, pesakit warga emas turut dibantu melalui perkhidmatan rehabilitasi geriatrik untuk memastikan mereka pulih sepenuhnya selepas kecederaan atau penyakit dengan melalui proses penjagaan, rawatan dan sokongan bagi membolehkan mereka berdikari secara optimum.

Beliau menjelaskan, rehabilitasi geriatrik ketika ini melibatkan seramai 86 pakar di seluruh negara dengan unit rehabilitasi hanya terdapat di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Nerang, Kedah.

Jelasnya, penubuhan Wad Rehabilitasi Geriatrik HoKKU di Hospital Kuala Nerang selaras dengan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh untuk golongan warga emas.

"Penaiktarafan wad ini dilengkapi kemudahan lebih selesa dan mesra OKU. Pelbagai intervensi rehabilitasi kepada pesakit-pesakit geriatrik yang menghidapi pelbagai masalah seperti strok, penyakit parkinson dan kecederaan saraf tunjang akan lebih mudah untuk dilakukan dalam wad ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Norhizan Ismail berkata, seramai 156 pesakit warga emas telah dirawat di wad berkenaan pada 2018 yang hanya mampu menampung kira-kira lapan pesakit dalam satu-satu masa.

Selain HoKKU katanya, terdapat juga Hospital Kluster Kedah Tengah (HoKTEN) dan perkhidmatan yang telah diklusterkan ialah perubatan, kecemasan, oftalmologi, haematology dan rehabilitasi geriatrik.