PATI gagal pulang ke negara asal

Azman menunjukkan bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang digunakan untuk membawa PATI keluar dari Malaysia dengan mengikut laluan yang tidak diwartakan.
Azman menunjukkan bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang digunakan untuk membawa PATI keluar dari Malaysia dengan mengikut laluan yang tidak diwartakan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima lelaki dan tiga perempuan ditahan ketika cuba keluar dari negara ini mengikut laluan yang tidak diwartakan di perairan Sungai Pelek, Sepang malam tadi.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, operasi khas bermula jam 8 malam itu digerakkan selepas menerima maklumat tentang pergerakan sebuah bot mencurigakan di perairan Kuala Sepang sebelum mengekori dan menahan mereka lebih kurang jam 8.45 malam membabitkan warganegara Indonesia berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Menurutnya, hasil risikan turut berjaya menahan tiga tekong darat termasuk dua rakyat tempatan berusia 46 dan 52 tahun dan seorang warganegara Indonesia berusia 47 tahun manakala dua tekong laut warganegara Indonesia berusia 43 dan 45 tahun.

"Hasil maklumat awal kita mendapati PATI itu bekerja di sekitar kawasan Lembah Klang dan gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri yang sah selain tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan hingga mendorong mereka menggunakan perkhidmatan ejen dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM400 seorang.

"Mereka juga mengakui datang ke Sungai Pelek dengan menaiki kenderaan yang dibawa oleh tekong sebelum menaiki bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran untuk keluar dari Malaysia dengan mengikut laluan yang tidak diwartakan," katanya.

Azman (kiri) melihat sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi khas malam tadi di pekarangan Ibu pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini hari ini.
Azman (kiri) melihat sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi khas malam tadi di pekarangan Ibu pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini hari ini.

Azman berkata demikian ketika sidang akhbar penahanan PATI itu di Ibu Pejabat APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Operasi, Leftenan Madya Maritim Mohd Hafiz Ahmad.

Jelas Azman, dua buah kenderaan jenis kereta Honda accord dan Waja serta sebuah motosikal yang digunakan bagi membawa PATI ditahan dan disita termasuk bot gentian kaca yang digunakan untuk membawa mereka ke Pulau Rupat, Indonesia.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Katanya, pihaknya juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan dalam tempoh Januari hingga setakat ini, sebanyak 17 kes tangkapan berjaya direkodkan di bawah (ATIPSOM).

"Daripada jumlah kes itu, seramai 144 orang ditahan termasuk 131 PATI dan 13 orang tekong atas kesalahan mengikut Akta Imigresen ATIPSOM," katanya.