Nilai hartanah Kampung Baru perlahan jika tidak dibangunkan

Ishak Ismail (kanan) pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - Foto: Zahid Izzani
Ishak Ismail (kanan) pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

SHAH ALAM - Nilai hartanah di Kampung Baru hanya meningkat pada kadar perlahan sekiranya penempatan orang Melayu itu dikekalkan seperti sekarang.

Perunding Hartanah, Ishak Ismail berkata, cadangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru kepada bandar canggih dengan mengekalkan kebudayaan Melayu akan meningkatkan nilai hartanah dengan mengambil kira aspek kombinasi pembangunan dan seni budaya Melayu.

Menurutnya, orang Melayu yang membeli rumah atau bangunan komersial di kawasan berkenaan selepas ia dibangunkan akan memberi manfaat kepada mereka dan waris.

"Saya melihat sebagai perunding hartanah yang berkecimpung dalam bidang ini sejak lebih 30 tahun. Kampung Baru merupakan satu ikon yang sangat penting sebagai satu tarikan pelancong untuk datang ke Malaysia.

"Kita kena pastikan bahawa kehidupan dan budaya orang Melayu yang hidup di tengah bandar mesti dicorakkan dengan satu keadaan di mana ia bukan lagi keadaan terhimpit dengan pembangunan seperti sekarang.

"Kalau kekal seperti sekarang, saya yakin dan percaya nilai hartanah di Kampung Baru akan meningkat dengan kadar sangat perlahan," katanya selaku panelis pada pada program Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan? di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Wacana yang menampilkan personaliti TV, Ahmad Fetri Yahya sebagai moderator itu turut dibarisi panelis, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Kanan, Bahagian Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Abdul Razak Yusak.

Pada 21 September lalu dalam sesi town hall Pembangunan Kampung Baru, Khalid mengumumkan tawaran kerajaan untuk pembelian tanah sebanyak RM850 setiap kaki persegi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas (freehold) seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu.

Fokus pembangunan Kampung Baru yang dirancang meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial melibatkan keluasan tanah 302 ekar.

Sementara itu pada 28 September, sumber Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) berkata, 93.7 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju untuk menjual tanah milik mereka.

Perbadanan itu masih menunggu baki penduduk lain untuk menghantar borang persetujuan sehingga 10 Oktober nanti.