Sindiket judi online kaut untung RM24.7 juta sebulan

Mazlan (tiga dari kiri) menunjukkan barang-barang rampasan pada sidang media Kejayaan Polis Kuala Lumpur dalam memerangi Perjudian dalam talian (calling centre) di IPK Kuala Lumpur hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mazlan (tiga dari kiri) menunjukkan barang-barang rampasan pada sidang media Kejayaan Polis Kuala Lumpur dalam memerangi Perjudian dalam talian (calling centre) di IPK Kuala Lumpur hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian online antarabangsa didalangi warga China yang aktif beroperasi hingga mengaut untung bulanan mencecah RM24.75 juta tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam operasi judi online (JOL) selama lapan hari bermula 25 September berjaya memberkas 247 warga China termasuk 15 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an bersama dua warga tempatan disyaki penjaga premis dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM3.12 juta.

"Serbuan ini dilakukan di tujuh lokasi berasingan iaitu tiga di daerah Brickfields, Cheras (2) dan Dang Wangi (2).

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 129 unit komputer riba, telefon bimbit (1,436), modem (6), kad akses (5), tablet (3), router (1), komputer (185) dan wang tunai RM60,652," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, dalam operasi JOL itu, sebanyak empat kondominium terletak di Jalan Cheras, Jalan Ceylon dan Jalan Mayang Sari serta bangunan pejabat di Bangsar South, Jalan Kerinchi dan Jalan Desa Bahagia telah digempur.

Mazlan (tiga dari kiri) menunjukkan barang-barang rampasan pada sidang media Kejayaan Polis Kuala Lumpur dalam memerangi Perjudian dalam talian (calling centre) di IPK KL hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mazlan (tiga dari kiri) menunjukkan barang-barang rampasan pada sidang media Kejayaan Polis Kuala Lumpur dalam memerangi Perjudian dalam talian (calling centre) di IPK KL hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Katanya, siasatan mendapati kegiatan ini dipercayai dilakukan beberapa sindiket berlainan dengan menggunakan aplikasi Wechat dan mensasarkan pelanggan atau pemain di negara China.

"Kita percaya trend sindiket ini adalah menyewa kondominium dengan bayaran RM8,000 sehingga RM23,000 dalam tempoh singkat untuk dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian online. Ahli sindiket juga dibayar gaji kira-kira RM3,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga mendapati sindiket ini mampu mengaut untung RM825,000 sehari dan mampu mencecah RM24.75 juta sebulan," katanya.

Tambah Mazlan, pihaknya mengingatkan kepada pemilik kondominium atau premis untuk tidak sama sekali menyewakan kepada individu yang mencurigakan bagi mengelakkan tindakan tegas undang-undang.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga 2 Oktober lalu, Polis Kuala Lumpur telah membuat 54 serbuan berjaya dalam JOL melibatkan 1,066 tangkapan dengan rampasan wang tunai RM148,642.