Perang nuklear India-Pakistan mampu ragut 125 juta nyawa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - Perang nuklear antara India dan Pakistan boleh menyebabkan 125 juta kematian dan menghasilkan bencana alam sekitar global, demikian menurut penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian.

Angka korban dan senario kehancuran adalah berdasarkan jumlah kepala peledak nuklear yang dimiliki India dan Pakistan, kuasa letupannya dan pusat populasi dalam liputan sistem penyampaian.

"Sekiranya berlaku peperangan antara India dan Pakistan... kedua-dua negara ini sahaja akan berdepan 50 hingga 125 juta kematian, yang merupakan satu bencana serantau," kata beberapa penyelidik dari Universiti Colorado Boulder dan Universiti Rutgers.

"Selain itu, gangguan iklim jangka pendek yang teruk dengan suhu menjunam kepada nilai yang belum pernah disaksikan di bumi sejak pertengahan Zaman Ais lalu, dijangka dicetuskan oleh asap daripada bandar-bandar yang terbakar, satu bencana global yang mengancam pengeluaran makanan di seluruh dunia dan kebuluran secara besar-besaran, selain gangguan teruk terhadap ekosistem semula jadi," menurut laporan itu.

India dan Pakistan masing-masing memiliki 140 hingga 150 kepala peledak nuklear dan jumlah itu mungkin meningkat kepada 200 hingga 250 di setiap negara menjelang 2025.

Senjata nuklear semasa di dunia yang dianggarkan berjumlah 13,900 menyaksikan 93 peratus daripadanya dimiliki Amerika Syarikat dan Rusia, 300 lagi dalam genggaman Perancis, 270 di China, 215 di Britain manakala Israel memiliki 80 unit senjata pemusnah besar-besaran itu.

"Anggaran jumlah kepala peledak yang dimiliki India dan Pakistan adalah berdasarkan kapasiti sistem penyampaiannya yang boleh diperhati daripada penderiaan jauh berbanding jumlah uranium dan bahan bakar plutonium yang diperkaya yang mungkin dihasilkan oleh negara terbabit," menurut penyelidikan yang diterbitkan pada Rabu dalam jurnal Science Advances.

"Mereka memiliki populasi yang besar, jadi ramai orang yang terancam oleh kesemua senjata ini dan kemudian terdapat konflik yang tidak selesai berkaitan Kashmir," kata Brian Toon, yang mengetuai kajian itu, dalam satu laporan yang dimuat naik di laman sesawang Universiti Colorado Boulder.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah peperangan yang tidak mempunyai duluan dalam pengalaman manusia,” katanya.

Kajian itu menonjolkan India dan Pakistan sebagai menjadi 'kebimbangan khusus' dalam gambaran kuasa nuklear global disebabkan 'sejarah panjang pertempuran tentera termasuk yang serius baru-baru ini, ketiadaan kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu wilayah, kawasan bandar yang padat penduduknya serta perkembangan pesat senjata nuklear masing-masing'.

Ia bagaimanapun berkata, Pakistan mahupun India tidak mungkin memulakan konflik nuklear tanpa provokasi yang besar.

Sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947, India dan Pakistan telah bertempur dalam empat peperangan dan pasukan tentera mereka sering berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan yang membahagikan pemerintahan Kashmir di rantau Himalaya yang menjadi pertikaian dan dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara. - Bernama