X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan simpan baki ubat antibiotik

A
A

Setiap preskripsi menyasarkan bakteria khusus, tiada kesan terhadap penyakit lain

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

DOKTOR, setiap kali membawa anak saya berusia lebih kurang dua tahun yang demam ke klinik, doktor akan membekalkan ubat antibiotik. Pun begitu, barangkali disebabkan rasanya yang 'tidak sedap' biasanya anak saya akan menolak untuk menghabiskannya. Doktor, adakah antibiotik yang tidak dihabiskan boleh mengundang masalah?

- IBU BIMBANG, SHAHIDA HAMDAN, 32, KULAI JAYA, JOHOR

JAWAPAN:

PUAN, bukan semua anak akan dilahirkan sihat, terutamanya bayi pramatang. Sesetengahnya mungkin mengalami jangkitan kongenital yang biasanya disebabkan oleh bakteria yang dinamakan Streptokokus Kumpulan B (GBS).

Bakteria itu terdapat dalam saluran untuk melahirkan bayi. Dari situ, ia boleh 'berpindah' kepada bayi baru lahir sebelum atau semasa bersalin. Terdapat juga kemungkinan menyebabkan kerumitan seperti sepsis (jangkitan darah), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan meningitis (jangkitan otak).

Pakar pediatrik lazimnya memilih antibiotik untuk merawat GBS kerana ia merupakan jangkitan bakteria.

Sebenarnya, penggunaan antibiotik yang betul amat penting. Ibu bapa hendaklah memastikan anak mereka menyempurnakan seluruh rawatan antibiotik untuk membunuh semua bakteria.

Jangan simpan antibiotik anak sebagai bekalan kegunaannya pada masa depan kerana setiap antibiotik unik untuk menyasarkan bakteria khusus yang tiada kesan terhadap penyakit lain.

Tambahan pula, pengambilan ubat yang salah boleh memburukkan lagi keadaan kanak-kanak. Mereka boleh mengalami kesan sampingan yang tidak diingini seperti sakit perut, cirit-birit dan juga ruam kulit.

Saya pernah menerima permintaan untuk antibiotik daripada ibu bapa dan datuk nenek pesakit walaupun ia tidak perlu diambil. Mereka menganggap antibiotik sebagai penyelesaian pantas.

Kadangkala cabaran dihadapi oleh kami adalah ibu bapa kurang senang apabila tidak diberikan antibiotik dan seterusnya berjumpa dengan doktor lain.

Sebagai pakar pediatrik, kebimbangan ibu bapa perlu ditangani. Akhirnya kedua-dua pihak mahukan yang terbaik untuk anak itu.

Sebagai doktor, saya dapati demam ialah gejala yang amat membimbangkan ibu bapa. Dalam kes yang mana anak masih aktif, saya nasihatkan ibu bapa untuk memantau anak selama dua atau tiga hari.

Jika masih belum pulih, saya akan meminta mereka kembali untuk penilaian semula. Ujian darah atau ujian swab hidung akan dijalankan bergantung pada keadaan kanak-kanak.

Ujian itu akan menentukan punca asas iaitu sama ada bakteria atau virus, sekali gus menentukan sama ada preskripsi antibiotik perlu diberikan.

Garis panduan preskripsi

Puan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerbitkan Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan 2014 sebagai panduan yang jelas dan tersusun bagi semua preskripsi antibiotik.

Dokumen itu menjadi panduan yang amat berguna untuk mengenal pasti jenis preskripsi yang terbaik bagi semua pesakit termasuk bayi, kanak-kanak dan remaja.

Apabila antibiotik perlu diberikan kepada kanak-kanak, dos diberikan mengikut berat kanak-kanak kerana ia mempengaruhi kadar penyerapan.

Sebagai pakar pediatrik, saya biasanya memilih rawatan antibiotik untuk aktif menentang kumpulan bakteria terpilih dengan menyasarkan jangkitan terkhusus. Itu akan mengehadkan daya tahan bakteria sambil menyelamatkan bakteria baik.

Saya tidak menggunakan antibiotik yang sama sepanjang tahun. Biasanya akan bertukar ganti antara kumpulan antibiotik berbeza untuk menyekat sebaran rintangan bakteria.

Anak disuntik vaksin tetap perlu antibiotik

SOALAN 2

Doktor, saya musykil berkenaan dakwaan anak sudah mendapat suntikan vaksin, tidak perlu untuk mendapatkan antibiotik pada waktu sepatutnya. Benarkah demikian?

- AHMAD KAMAL JOHAN, 38, KG BARU, KUALA LUMPUR JAWAPAN:

TUAN, saya mengesyorkan agar ibu bapa memvaksinkan anak-anak mereka. Tujuannya bukan sahaja untuk memberikan imunisasi, tetapi mencegah keperluan bagi antibiotik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengatakan bahawa penggunaan antibiotik untuk kira-kira 11 juta hari boleh dicegah setiap tahun di peringkat global jika semua divaksinkan terhadap bakteria Streptokokus pneumoniae (yang boleh menyebabkan pneumonia, meningitis dan jangkitan telinga tengah).

Rintangan antimikrob merupakan masalah serius yang melemahkan tubuh badan dan berpotensi menimbulkan krisis kesihatan awam. Usaha global melibatkan sektor awam dan swasta diperlukan untuk menangani isu tersebut.

Berjumpalah dengan doktor atau ahli farmasi untuk maklumat lanjut terhadap keperluan vaksin anak.

Profil

Dr Lim Ee Tang ialah Pakar Runding Pediatrik, Hospital Tung Shin, Kuala Lumpur

DR Lim Ee Tang
DR Lim Ee Tang

*****Pandangan dan pendapat yang dinyatakan di dalam rencana di atas dibawakan oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus