PRK Tanjung Piai: Najib turun bantu kempen

Najib bersalaman dengan masyarakat Tanjung Piai ketika bersarapan di Warung Farhan Kampung Rimba Terjun pagi tadi.
Najib bersalaman dengan masyarakat Tanjung Piai ketika bersarapan di Warung Farhan Kampung Rimba Terjun pagi tadi.
A
A
A

PONTIAN - Kesediaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai disifatkan mampu membantu memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, Ahli Parlimen Pekan yang popular dengan panggilan 'bossku' itu ketika ini dilihat mempunyai aura tersendiri dalam menarik perhatian rakyat.

"Najib merupakan Penasihat BN, jadi dia ada kapasiti untuk turun kempen.

"Bagi saya, sedikit sebanyak melihat (Najib memiliki) aura positif ini (untuk bawa kemenangan)," katanya selepas majlis bersama Najib di Warung Burasak Abah Pekan Nanas di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israk Abdullah dan Timbalan Pengerusi MCA Tanjung Piai, Tan Eng Meng.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib menyatakan komitmen beliau untuk turun membantu kempen PRK Tanjung Piai di hadapan kira-kira 500 masyarakat Parlimen Tanjung Piai di Warung Burasak Abah Pekan Nanas dan Warung Farhan Kampung Rimba Terjun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 Oktober lalu menetapkan PRK Tanjung Piai pada 16 November, penamaan calon pada 2 November manakala tarikh mengundi awal pada 12 November.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai memiliki 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.