Edar dadah: Tiga lelaki ke tali gantung

Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 20.89 kilogram dadah, tiga tahun lalu.
Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 20.89 kilogram dadah, tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah mengedar 20.89 kilogram dadah tiga tahun lalu.

Tertuduh, yang merupakan pekerja trak tunda M Dinesh, 25, Shervin Khoshhalsarvandani, 27, seorang jurulatih sukan di Iran dan rakan senegaranya, Mohammad Mahdi Tyhim Nazlo, 29, pengusaha butik pakaian kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding berjalan.

Menurutnya, segala keterangan bela diri yang diberikan tertuduh hanya penafian semata-mata.

Ketiga-tiga tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati mengedar 20,893.80 gram methamphetamine pada 15 Jun 2016.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat ternakan ikan di Jalan Behrang Ulu, Kampung Chenein, Behrang Stesen pada jam 4.30 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan manakala Dinesh diwakili peguam, G Jaya Prem dan Peguam Chew Jee San pula mewakili Shervin dan Mohammad Mahdi.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Jun 2016 lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dalam kontena dengan tertangkapnya lapan suspek di Behrang, Tanjung Malim.

Serbuan pertama yang dibuat di Behrang dan Tanjung Malim berjaya menahan lima lelaki termasuk dua warga Iran yang dipercayai diupah oleh suspek tempatan untuk bertindak sebagai 'ahli kimia' bagi menyediakan dadah.

Polis turut merampas ketulan kristal dan cecair disyaki syabu seberat 274kg yang dianggarkan bernilai RM27 juta.

Susulan penahanan itu, polis menahan tiga lagi lelaki iaitu anggota sindiket itu di Selangor iaitu di Ulu Bernam, Klang dan Ampang.