Op Ambang Tahun Baharu: JPJ Selangor keluar 261 saman

JPJ
JPJ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 261 notis saman sempena Op Ambang Tahun Baharu 2019 selepas 375 kenderaan diperiksa di Plaza Tol Sunway (arah Kuala Lumpur), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), di sini.

Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 261 kenderaan diambil tindakan manakala selebihnya hanya kesalahan direkodkan.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu iaitu sebanyak 45 kes, insurans (60), kesalahan teknikal (45), tiada lesen memandu lori (lima), lebih muatan (dua) dan membawa muatan berbahaya (dua).

Nazli berkata demikian kepada pemberita selepas operasi yang disertai agensi penguat kuasa antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, bermula pukul 8 malam hingga 3 pagi tadi.

Sementara itu, JPJ Kuala Lumpur turut mengadakan operasi yang sama di Stesen LRT Bangsar dan mengeluarkan sebanyak 203 notis saman daripada 1,026 kenderaan yang diperiksa.

Pengarahnya Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata seorang lelaki berusia 20-an ditahan, disyaki positif dadah jenis syabu selepas ujian saringan air kencing.

Selain itu, katanya JPJ Kuala Lumpur menyita sebanyak 333 kenderaan pelbagai jenis atas pelbagai kesalahan untuk tempoh Januari sehingga Disember tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: