Serah tugas: PKR Perak hargai komitmen PM

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A
A

IPOH - PKR Perak menyambut baik komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, penjelasan yang dibuat oleh Dr Mahathir ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu itu sekaligus menamatkan khabar angin dan desas-desus tidak benar mengenai peralihan kuasa itu.

Menurutnya, jaminan untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti yang dijanjikan sebelum PRU14 itu merupakan hadiah tahun baharu yang amat bermakna kepada seluruh rakyat.

"PKR Perak ingin melihat peralihan kuasa yang sempurna dan aman seperti yang dilihat selepas PRU14 yang lalu.

"Kata-kata Tun (Dr Mahathir), dalam perjuangan perlu ada tolak ansur kerana kalau kita berdegil, berkeras kita akan binasa, amat tepat dan harus dijadikan prinsip demokrasi matang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sikap yakin yang ditunjukkan oleh Anwar kepada Dr Mahathir dalam memastikan peralihan kuasa berlaku dalam keadaan teratur harus dicontohi.

Farhash Wafa berkata, semua pihak harus menghormati hubungan erat di antara kesemua pemimpin-pemimpin PH.

Katanya, perlu juga diingat mandat kerajaan baharu yang diterajui PH dimenangi atas janji reformasi.

Artikel Berkaitan: