Tokan wanita dicekup bersama dadah bernilai RM20,000

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Polis menahan seorang wanita bersama dadah bernilai RM20,000 di tepi Jalan Bukit Benggali, Mukim Kuah di sini petang semalam.

Ketika ditahan, tokan berusia 35 tahun itu sedang menunggang motosikal dipercayai untuk mengedar dadah jenis heroin dan syabu yang dibawanya itu.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik hasil maklumat awam pada jam 4.10 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa lapan peket plastik lut sinar mengandungi serbuk ketulan keputihan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 458 gram dan dua peket plastik lut sinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat 13.04 gram.

“Kedua-dua dadah itu dianggarkan bernilai RM 20,000. Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah telah direman untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39A(1) 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: