Eropah lontar pembelajaran isu halal

A
A
A

KEBELAKANGAN ini isu makanan halal dan suci daripada sebarang percampuran bahan haram mendapat perhatian serius ramai orang di Malaysia. Rata-rata kini rakyat Malaysia mula amalkan gaya hidup baharu dengan mengutamakan makanan halal sepanjang masa.

Namun, ada perkara yang mengejutkan penulis apabila berbicara tentang isu makanan halal. Beberapa bulan lalu, penulis ke Eropah dan berpeluang bertukar pandangan dengan beberapa syarikat pengeluar di Jerman serta Switzerland. Antara syarikat yang dilawati penulis di Eropah ialah Siemens yang berpangkalan di Jerman.

Penulis dimaklumkan Siemens dan banyak lagi syarikat pengeluar makanan dan perubatan di Eropah menepati piawaian Amalan Kebersihan Yang Baik atau Good Hygiene Practices (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik atau Good Manufacturing Practices (GMP).

Malaysia sebenarnya memiliki Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (semakan ketiga) 2014, perenggan 5.4 (i) dan (ii) menyatakan semua produk yang dipohon hendaklah dihasilkan secara konsisten serta mempunyai rekod pengeluaran yang dikemas kini semasa penyediaan, pengendalian, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan atau pemindahan produk hendaklah menepati keperluan hukum syarak dan bersih mengikut GMP dan GHP.

Namun, Malaysia masih jauh ketinggalan dalam aspek GMP dan GHP kerana benua Eropah mempunyai pelbagai mesin peralatan yang mampu mengenal pasti dan mengasingkan produk halal serta haram. Benua Eropah juga mempunyai tenaga kepakaran yang mampu mengendalikan mesin tanpa sebarang masalah.

Justeru, penulis mencadangkan Malaysia agar segera menubuhkan Pusat GMP Negara bagi dijadikan tempat rujukan kegiatan penyelidikan dan pembuatan produk halal. Malaysia juga perlu menubuhkan pusat latihan kemahiran produk halal yang efisien bagi membantu syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memperhebatkan pengeluaran produk berasaskan hukum syarak. Usaha seterusnya ialah bagi menjadikan Malaysia sebagai Pusat Halal Hab Dunia.

Piawaian

Kenapa kita harus menitikberatkan makanan halal dalam kehidupan kita seharian? Halal disebut 49 kali dalam al-Quran ALLAH menegaskan perkara ini dalam Surah Al-Baqarah [2:168] bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang (lagi) nyata bagi kamu.”

Amalan memakan makanan halal juga dititikberatkan Rasulullah SAW yang berpesan: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram.” (Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Abdullah al-Nu’man) Penduduk Malaysia kini sudah mula mengutamakan produk barangan Islam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penulis percaya masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menghasilkan produk makanan Islam tanpa mengikuti piawaian ditetapkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dari masa ke masa sentiasa kita didedahkan kilang yang menghasilkan produk Islam palsu. Malah ada kilang yang mendakwa menghasilkan produk makanan Islam tapi anjing dilihat berkeliaran berdekatan tempat pembuatan makanan.

Timbul persoalan adakah kilang tersebut tahu tentang sertu atau samak yang bermaksud aktiviti teknikal menyucikan mana-mana bahagian badan dan peralatan terkena najis muqhalazah (anjing dan babi) dengan air mutlak sebanyak enam kali dan dengan air bercampur tanah sekali.

Ini sesuai pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah RA bermaksud: “Bersihkanlah bekas makanan kamu yang telah dijilat anjing dengan tujuh kali basuhan dan yang pertama daripadanya dengan tanah.” Hikmah sertu ialah bagi menghindarkan penyakit daripada kuman yang ada anjing atau babi.

Kesimpulannya penulis percaya penubuhan Pusat GMP Negara boleh berperanan mengawal operasi penghasilan makanan suci. Namun Pusat GMP Negara harus berperanan dengan lebih fokus bagi memastikan tiada pertindihan tugas dengan Jakim.