GST: Kerajaan PH perlu mohon maaf kepada rakyat

Ismail Sabri ISMAIL SABRI
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada Barisan Nasional (BN) dan seluruh rakyat Malaysia kerana berbohong mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Ketuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kaji mengembalikan semula GST sekiranya ia kehendak rakyat jelas memperlihatkan tohmahan dilemparkan sebelum ini fitnah semata-mata.

Menurutnya, PH yang ketika itu pembangkang memfitnah GST sebagai punca barangan dan kos sara hidup rakyat bagi ‘membeli’ undi untuk menolak BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rakyat tertipu dan percaya tentang omongan keburukan GST dan kebaikan SST (cukai jualan dan perkhidmatan) walhal ia sebaliknya dan kini PH mengakui kebaikan GST.

“Kesan daripada GST ditukar kepada SST, pendapatan berkurangan lebih RM20 bilion. Kesannya banyak insentif untuk rakyat ditarik balik.

"Malah beberapa syarikat milik kerajaan dijual untuk menutup lompong kewangan,” katanya.