Bantah penjualan terbuka rokok elektronik, tembakau Heated Tobacco

Mohd Nizam Omar
Mohd Nizam Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Belia 4B Malaysia membantah penjualan terbuka peranti rokok elektronik dan tembakau jenis Heated Tobacco di pasaran.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar berkata, pihaknya mengikuti dan meneliti secara terus berkenaan perkara ini yang dilihat semakin berleluasa tanpa kawalan sepatutnya selaras dengan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Gerakan Belia 4B Malaysia menjalankan tinjauan dan pemantauan mendapati beberapa syarikat secara berani menjual peranti dan tembakau dengan mempamerkan iklan promosi di kedai-kedai serbaneka dan laman web.

"Pihak syarikat terlibat ini dengan jelas telah melanggar undang-undang yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, Gerakan Belia 4B Malaysia melihat amalan kerajaan mengenakan tindakan rampasan ke atas pengusaha syarikat vape adalah bersifat tidak adil dan diskriminasi kerana masih tiada undang-undang khusus kepada mereka.

"Sedangkan syarikat gergasi rokok elektronik berasaskan tembakau heated tobacco yang jelas melanggar undang-undang tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Gerakan Belia 4B Malaysia menzahirkan kekecewaan dengan membantah penjualan serta pengiklanan peranti rokok elektronik dan tembakau Heated Tobacco ini dibuat secara terbuka yang memberi ruang kepada belia berumur bawah 18 tahun mendapatkannya tanpa kawalan yang pasti boleh merosakkan ekosistem kehidupan dan mewujudkan permasalahan sosial di kalangan belia," katanya.

Menurutnya, Gerakan Belia 4B Malaysia juga dengan tegas menggesa kerajaan agar mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami turut mencadangkan agar penjualan sebarang produk tembakau hanya boleh dijual secara terkawal di kedai yang dikhususkan sahaja," katanya.