Wanita hidap penyakit jantung meningkat: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (dua dari kiri) merasmikan MySTEMI Foundation hari ini.
--fotoBERNAMA
Dr Wan Azizah (dua dari kiri) merasmikan MySTEMI Foundation hari ini. --fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelaziman penyakit jantung dalam kalangan wanita semakin menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada 20 peratus pada 2014 kepada 22 peratus pada 2017.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyakit itu yang secara tradisinya dihidapi oleh lebih ramai lelaki telah menunjukkan ciri-ciri yang berbeza dalam kalangan wanita.

"Walaupun gejala yang paling biasa adalah sakit dada, namun telah diakui bahawa ia boleh dikesan dengan cara yang sedikit berbeza untuk wanita, di mana ini membawa kepada diagnosis dan rawatan yang lewat.

"Sakit dada yang biasa dikaitkan dengan serangan jantung seperti sakit di bahagian tengah dada dan rasa sakit pada bahu yang menyebarkan ke leher dan jantung mungkin tidak biasanya berlaku bagi wanita yang mengalami serangan jantung," katanya ketika berucap pada pelancaran rasmi Yayasan MySTEMI di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MySTEMI, Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata apabila wanita mengalami serangan jantung, mereka biasanya 10 tahun lebih tua daripada lelaki dan mereka kurang menerima rawatan agresif menerusi Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

"PCI adalah kaedah bukan pembedahan dengan meletakkan secara kekal sehenis logam kecil yang dipanggil stent untuk membantu meluaskan arteri yang sempit atau tersekat yang membekalkan oksigen ke jantung.

"Wanita yang menjadi mangsa serangan jantung juga mungkin akan mengalami komplikasi dan penyakit yang teruk.

Artikel Berkaitan:

"Perbezaan jantina ini juga telah diperhatikan di negara-negara lain dan setakat ini, tiada yang dapat mengenal pasti punca perbezaan ini," tambahnya.

Beliau berkata, penyakit jantung telah menjadi punca utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 13 tahun dari 2005 hingga 2017.

"Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2017, 13.9 peratus rakyat Malaysia meninggal dunia akibat penyakit jantung dan majoriti mereka tinggal di kawasan bandar," katanya.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan ialah mereka yang menderita sakit jantung di Malaysia berusia lebih muda berbanding di negara jiran seperti Thailand dan Singapura,

Dr Wan Azizah berkata, menjelang 2040, dianggarkan penduduk Malaysia berumur 65 tahun ke atas akan melebihi enam juta orang yang merupakan 14.5 peratus daripada jumlah penduduk.

"Ini merupakan isyarat terhadap beban penyakit jantung di Malaysia pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berharap lebih banyak organisasi dan individu akan memberi sokongan kepada Yayasan MySTEMI, yang bertujuan untuk menjana dana tambahan bagi membantu lebih ramai pesakit yang mengalami serangan jantung menerima rawatan terbaik.- Bernama