Dr Mahathir hadir Kongres Maruah Melayu bukan isu: Waytha Moorthy

P Waytha Moorthy
A
A

PUTRAJAYA- Kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir pada Kongres Maruah Melayu (KMM), Ahad ini bukan satu isu yang perlu diperbesarkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata, sebagai ketua negara, Dr Mahathir hanya mahu berucap kepada komuniti Melayu dan itu bukan satu masalah.

"Itu okey, tidak ada masalah untuk Perdana Menteri hadir ke kongres itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat pemimpin parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan penyertaan Dr Mahathir di kongres itu tidak sesuai memandangkan beliau perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Kongres anjuran empat universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan akan hadir ke kongres itu.