Air percuma: Selangor jimat perbelanjaan lebih 50 peratus

Amirudin ketika merasmikan pelancaran Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Amirudin ketika merasmikan pelancaran Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor dijangka dapat mengurangkan perbelanjaan lebih 50 peratus hasil daripada Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, dengan pelaksanaan skim itu kerajaan negeri menyasarkan pengurangan kos yang selama ini ditanggung kerajaan negeri.

"Kita akan mengurangkan belanja hampir 50 peratus atau lebih 50 peratus, sekarang ini kosnya dekat RM200 juta.

"Dengan sasaran awal dan Insya-ALLAH kita akan dapat kurangkan kosnya sehingga RM100 juta dengan pelaksanaan Skim Pemberian Air Percuma ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran Selangor Digital E-Supply Chain(SELDEC) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Pada 27 September lalu Amirudin berkata, hanya penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah layak menikmati Skim Pemberian Air Percuma ditawarkan kerajaan Selangor bermula 1 Mac depan.

Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan supaya penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma pada 23 November lalu bagi mencapai matlamat sebenar meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan dan layak.

Jelasnya, keputusan itu diambil di atas faktor peningkatan jumlah penduduk yang memberi kesan besar kepada jumlah kewangan dibelanjakan bagi menampung subsidi bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Selepas penjajaran semula bantuan hanya disasarkan kepada golongan memerlukan di samping menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat. Penjajaran ini perlu bagi menjana pembangunan dan kedudukan kewangan yang mampan.

"Bagi memastikan program ini menepati objektif perlaksanaannya dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri ke arah perbelanjaan yang berkualiti, penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan," katanya.