MyCC cadang Grab didenda RM86 juta

A
A

MyCC cadang Grab didenda RM86 juta

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencadangkan agar syarikat penyedia perkhidmatan seru pandu (e-hailing), Grab didenda RM86.77 juta serta penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 sehari bermula hari ini.

Cadangan Itu kemukakan kerana Grab didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandu- pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing-pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata, Grab diberi tempoh 30 hari untuk memberikan representasi mereka kepada MyCC.

Jelas Iskandar, keputusan cadangan yang dikeluarkan adalah selaras dengan Seksyen 36 AP2010, membolehkan MyCC menilai dan menyatakan sebab-sebab untuk keputusan cadangannya.

Pas tak setuju kerajaan kembalikan GST

Pas tidak akan menyokong sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan seharusnya mencari sistem percukaian lebih baik yang tidak membebankan rakyat dan bukannya sekadar melihat dalam kerangka GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semata-mata.

Katanya, Pas sudah menjangkakan kerajaan akan kehilangan pendapatan hampir RM20 bilion apabila mengambil tindakan untuk memansuhkan GST dan digantikan dengan SST.

Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia mengembalikan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya rakyat mahukan.

Waytha Moorthy kekal sebagai Menteri: PM

P. Waytha Moorthy kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun terdapat desakan beliau dipecat susulan keputusan inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana kata Dr Mahathir, beliau langsung tidak nampak apa-apa masalah yang ditimbulkan Waytha Moorthy sebagai seorang menteri.

Pada Januari lepas, Dr Mahathir dilapor membuat kenyataan ekoran peningkatan gesaan supaya Waytha Moorthy dilucutkan jawatan, bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib.

Maybank dinamakan antara bank paling selamat di Asia

Malayan Banking Bhd (Maybank) sekali lagi dinamakan sebagai bank paling selamat di Malaysia oleh majalah kewangan bulanan, Global Finance, sebagai sebahagian daripada kaji selidik eksklusifnya yang akan diterbitkan dalam keluaran November 2019.

Selain daripada Maybank, DBS Bank dari Singapura, Bank Islam Brunei Darussalam Brunei dan Bank Central Asia Indonesia juga berada dalam senarai bagi rantau Asia.

Bank-bank itu dipilih menerusi penilaian penarafan mata wang asing jangka panjang daripada Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch serta jumlah aset daripada 1,000 bank terbesar di seluruh dunia, kata Global Finance dalam satu kenyataan.

Suarez jadi wira Barcelona

Jaguh La Liga, Barcelona kembali bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Inter Milan, 2-1, melalui dua jaringan penyerang prolifik Luis Suarez dalam aksi peringkat Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi hari ini.

Beraksi di laman sendiri Camp Nou, pasukan bimbingan Ernesto Valverde dikejutkan seawal minit ketiga perlawanan melalui jaringan pasukan pelawat yang disumbangkan oleh Lautaro Martinez.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Barcelona yang menguasai perlawanan cuba merapatkan kedudukan namun keputusan itu kekal sehingga masa rehat.

Barcelona yang terpaksa menunggu hampir sejam perlawanan akhirnya menjelmakan gol penyamaan hasil jaringan Suarez cantik pada minit ke-58.