X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

MCA desak Pusat Kualiti Alam ditutup

Sebahagian AJK Biro Kempen Masyarakat Sivik dan penduduk di Sendayan mendesak kerajaan negeri menutup Pusat Kualiti Alam segera.
A
A

SEREMBAN – Kerajaan negeri digesa supaya menutup pusat pemprosesan bahan kimia, Pusat Kualiti Alam di Sendayan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, kerajaan Pakatan Harapan melalui manifestonya semasa pilihan raya umum (PRU) lalu berjanji untuk menutup Pusat Kualiti Alam itu, namun sehingga kini tiada tindakan diambil walaupun sudah hampir setahun setengah mentadbir negeri ini.

"Kejadian kebakaran di Pusat Kualiti Alam yang berlaku kali kedua ini menjadikan masyarakat setempat bimbang dengan tahap kualiti udara yang dipercayai boleh tercemar akibat kebakaran bahan kimia.

"Sekarang ini adalah masa yang paling sesuai untuk kerajaan negeri segera menutup atau memindahkan Pusat Kualiti Alam ke kawasan yang lebih jauh daripada taman perumahan," katanya.

Suhairi (kiri) Siow Koi Voon (tengah) dan Ng Kian Nam (berdiri) semasa sidang media hari ini.
Suhairi (kiri) Siow Koi Voon (tengah) dan Ng Kian Nam (berdiri) semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai isu Pusat Kualiti Alam di Sendayan hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Muafakat Pengerusi-Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Sendayan, Suhairi Saharudin dan Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan,Ng Kian Nam.

Beliau turut meminta kerajaan negeri atau jabatan berkaitan memberi laporan penuh mengenai tahap kualiti udara semasa bagi membolehkan masyarakat di Sendayan mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Kami memberi tempoh masa 24 jam kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan laporan dan mengumumkan secara terbuka kepada awam mengenai kejadian kebakaran membabitkan bahan kimia ini,” katanya.

Sementara itu, Suhairi memberitahu, terdapat beberapa penduduk di Sendayan mengalami batuk-batuk kesan daripada kebakaran tersebut.

Katanya, pihaknya meminta wakil Kualiti Alam Sdn Bhd untuk bertemu dengan penduduk dan menjelaskan keadaan semasa bagi memastikan kebersihan udara yang dilepaskan dijamin selamat.

“Ada waktu-waktu udara yang dihidu sangat berbau, seakan tercemar, namun apabila aduan dibuat mereka tidak dapat mengesan kerana ia berlaku dengan pantas tetapi kerap, kadang-kala sejam dua jam atau dalam dua bulan sekali.

“Apa yang kami mahukan tahap keselamatan dan pelepasan asap ke udara dapat dipertingkatkan bagi mengurangkan masalah lain berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sebahagian AJK Biro Kempen Masyarakat Sivik dan penduduk di Sendayan membuat demostrasi di hadapan Kualiti Alam mendesak kerajaan negeri menutup pusat pemprosesan bahan kimia itu segera.
Sebahagian AJK Biro Kempen Masyarakat Sivik dan penduduk di Sendayan membuat demostrasi di hadapan Kualiti Alam mendesak kerajaan negeri menutup pusat pemprosesan bahan kimia itu segera.

Tambahnya, kejadian yang berlaku buat kali kedua ini harus dijadikan pengajaran.

"Sepatutnya kejadian yang berlaku pada 2015 lalu dijadikan tauladan dan tidak sepatutnya berulang kembali.

"Kami tidak mahu apa yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang terjadi kepada penduduk di Sendayan pula," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!