'Kecelaruan mental bermula umur 14 tahun'

 Lee Boon Chye
Lee Boon Chye
A
A
A

MERBOK - Sebanyak 10 hingga 20 peratus golongan kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia mengalami kecelaruan kesihatan mental di mana sebahagiannya bermula sejak berusia 14 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, daripada jumlah itu, tiga per empat daripada mereka mula mengalami kecelaruan kesihatan mental ketika berusia pertengahan 20-an berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Menurutnya, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula mendapati sebanyak 29.2 peratus daripada mereka yang berusia 16 tahun ke atas mengalami simptom kecelaruan kesihatan mental yang majoritinya terdiri daripada golongan belia.

"Laporan terbaru Kajian Kesihatan Remaja 2017 mendapati sebanyak 10 peratus mempunyai pemikiran serta merancang untuk bunuh diri manakala 9.3 peratus melaporkan bahawa mereka berasa kesunyian pada kebanyakan masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Kedah 2019 yang bertemakan Pencegahan Bunuh Diri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, Rektor UiTM Kedah, Professor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid dan Ketua Perunding Psikiatri Kedah, Dr Yusni Yusuff.

Menurut Boon Chye, negara dikejutkan dengan berita seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun telah meninggal dunia setelah ditemukan tergantung dan juga berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun terjun bangunan selepas merealisasikan undian netizen yang mengundinya untuk 'mati' melalui akaun Instagram.

Katanya, data dan maklumat berkenaan menunjukkan betapa seriusnya gejala kecelaruan dan kesihatan mental serta ianya harus ditangani dalam setiap peringkat.

Artikel Berkaitan:

Boon Chye melancarkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri Kedah 2019 di UiTM Kedah.
Boon Chye melancarkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri Kedah 2019 di UiTM Kedah.

Selain itu katanya Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia turut mendapati antara faktor risiko yang menyebabkan individu mengambil tindakan membunuh diri adalah seperti sejarah percubaan bunuh diri yang terdahulu, sejarah penyalahgunaan dadah, individu yang mempunyai penyakit kronik fizikal dan mental kronik serta peristiwa kehidupan yang ketara.

"Dengan mengurangkan stigma dalam kalangan masyarakat umum mengenai masalah kesihatan mental dan meningkatkan keupayaan komuniti mengesan kecenderungan remaja atau kanak-kanak yang ada keinginan bunuh diri, antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasinya," katanya.

Dalam perkembangan berlainan beliau berkata, Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan pada 10 Oktober setiap tahun bertujuan mempromosi, memberi pengetahuan dan khidmat nasihat kepada masyarakat umum tentang kepentingan kesihatan mental.

"Usaha dan kerjasama antara jabatan kesihatan dan UiTM Kedah dilihat sejajar dengan tema tahun ini yang memberi fokus kepada golongan muda," katanya.

Turut diadakan ceramah bertajuk 'Kesihatan Mental Remaja. Apakah Peranan Remaja?', Forum Kesihatan Mental, pameran, pertandingan bicara berirama dan pertandingan video pendek.