Lulus projek Melaka Smart River

Adly (tengah) bercakap kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Antara Kerajaan Negeri dan Bitara Niaga Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Adly (tengah) bercakap kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Antara Kerajaan Negeri dan Bitara Niaga Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka meluluskan tiga projek yang dicadangkan Majlis Penasihat Bandaraya Pintar (SCAC) di bawah pelan Melaka Smart River meningkatkan imej Sungai Melaka bermula November depan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, projek yang menelan kos RM450,000 hasil kerjasama pihak swasta dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Menurutnya, pelaksanaan projek menggunakan teknologi pintar seperti peranti pengesan (sensor) akan berperanan memantau kualiti air Sungai Melaka, pemantauan amaran banjir melalui sungai serta kempen melestarikan sungai berkenaan.

Katanya, penambahbaikan Sungai Melaka hingga ke Sungai Gadek, Alor Gajah tidak akan mempengaruhi sebarang kenaikan harga tiket perkhidmatan River Cruise.

"Kita sebenarnya tidak meggunakan wang kerajaan negeri tetapi peranan agensi di bawah kerajaan negeri. Dua yang kita kenal pasti Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) dan Melaka Bekal.

"Kita akan pasang lebih banyak sensor di sepanjang sungai untuk memastikan kawalan air dibuat dengan menggunakan teknologi tempatan daripada UTeM seperti projek amaran banjir dapat terima maklumat tepat mengenai kualiti air dan sungai bagi mengawal banjir selain sebahagian air sungai digunakan sebagai air terawat," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Antara Kerajaan Negeri dan Bitara Niaga Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Melaka, Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Pemegang Saham Utama Bitara Niaga Development Sdn Bhd, Datuk Tai Chee Meng.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pembangunan teknologi seperti itu akan diperluaskan lagi penggunaannya kepada aplikasi lain dengan mewujudkan 'Melaka App' sekali gus membolehkan semua keperluan merujuk kepada aplikasi tersebut bagi mencapai Melaka sebagai bandar pintar 2030.

Adly memberitahu, menerusi perjanjian yang dimeterai syarikat pemaju hartanah terbabit akan melaksanakan projek pembangunan bercampur termasuk membina sebuah resort di kawasan tambakan laut di Kota Laksmana.

Pembangunan yang dinamakan kawasan Bandar XLIV membabitkan kawasan konsensi seluas 40 hektar.