Kes 'pertikaian wang' selesai selepas 71 tahun

Mir Osman Ali Khan pernah menjadi salah seorang individu terkaya di dunia pada masa dahulu. FOTO: AGENSI
Mir Osman Ali Khan pernah menjadi salah seorang individu terkaya di dunia pada masa dahulu. FOTO: AGENSI
A
A
A

LONDON - Sebuah mahkamah di London memutuskan wang sebanyak 35 juta pound (RM179 juta) dalam akaun bank di UK perlu diserahkan kepada keturunan sebuah keluarga diraja India dan bukan diberikan kepada Pakistan.

Hakim Marcus Smith mendakwa tiada bukti menyokong Islamabad berhak ke atas wang tersebut.

"Mahkamah hari ini menyatakan dengan jelas dan tidak menganggap wang itu diserahkan kepada Pakistan sebaliknya ia hanya menjadi pemegang amanah dan pemilik sebenarnya adalah Nizam," kata peguam salah seorang cucu keluarga diraja itu, Paul Hewitt.

Menurut Hewitt, kes itu yang bermula ketika anak guamnya masih kanak-kanak akhirnya dapat diselesaikan selepas dia kini berusia lingkungan 80-an.

Pertikaian itu bermula pada tahun 1948 apabila Nizam (raja) di Hyderabad mendepositkan 1 juta Pound (RM5.1 juta) ke dalam akaun di Britain yang kemudiannya dipegang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pakistan.

Hasil faedah yang diberikan bank, wang itu kemudiannya bertambah menjadi 35 juta Pound (RM179 juta) pada 2019.

Difahamkan konflik itu bermula ketika pembahagian India pada 1947.

Pemindahan wang tunai itu dipercayai dilakukan sebelum Hyderabad diduduki oleh India melalui operasi ketenteraan pada tahun 1948.

Artikel Berkaitan:

Nizam Mir Osman Ali Khan yang memerintah ketika itu bagaimanapun tidak dapat memutuskan sama ada negeri itu patut berada di bawah Pakistan atau India.

Keturunannya mendakwa baginda telah meminta wang itu dikembalikan beberapa minggu selepas pendudukan India namun Pakistan enggan berbuat demikian.

National Westminster Bank juga enggan menyerahkan wang tersebut kepada kedua-dua belah pihak sehingga kes tersebut diselesaikan oleh mahkamah. - Agensi