Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM41.5 juta

Hasanuddin (kanan) menunjukkan wajah 11 individu yang dikehendaki untuk membantu kes dadah sejak tahun lalu.
Hasanuddin (kanan) menunjukkan wajah 11 individu yang dikehendaki untuk membantu kes dadah sejak tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya merampas lebih RM41.5 juta dadah pelbagai jenis sejak awal tahun ini hingga September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, jumlah tersebut meningkat lebih RM9.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM31.8 juta.

"Peningkatan sebanyak 30 peratus melibatkan heroin, ganja, pil yaba, syabu, ubat batuk, pil erimin 5, daun ketum dan air ketum," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya juga telah membuat tangkapan sebanyak 15,521 orang dari Januari hingga September tahun ini berbanding 13,381 orang tahun lalu.

Hasanuddin
Hasanuddin

Beliau berkata, peningkatan sebanyak 2,140 orang melibatkan empat kategori iaitu bekalan, memiliki, permintaan dan pencegahan.

"Untuk nilai sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 bagi tempoh Januari hingga September pula ialah sebanyak RM7.2 juta berbanding tahun lalu lebih RM6 juta," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain polis Kelantan turut memburu 11 individu bagi membantu siasatan berkaitan dengan kes dadah sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin berkata, mereka yang dikehendaki itu berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dan turut melibatkan seorang wanita.

Mereka yang diburu ialah Muhamad Akhbar Maula Mohd Rifin,27, Mohammad Shah Amierul Zawawisni,22, Nik Khairol Amirul Baharom,24, Mohamad Zuraidi Ismail, 27, Muhammad Faiza Husin, 34, Mohamad Nazar Ismail, 25, Mohd Aiza'ad Mohd Asri, 30, Mohd Faez Noma Zalani, 26, Zaira Mohd Razali, 41, Mohamad Hasbullah Md Noor, 39, dan Muhamad Nur Azami Rusdin,26.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan mereka yang terlibat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 0122087222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.