Operator kuari haram berdepan tindakan mahkamah

Laporan Sinar Online berhubung kuari granit haram di Teluk Bahang.
Gambar kiri: Yew Tung Seang
Laporan Sinar Online berhubung kuari granit haram di Teluk Bahang. Gambar kiri: Yew Tung Seang
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang menyiasat operasi kuari granit haram di Teluk Bahang selepas menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Datuk Bandarnya, Datuk Yew Tung Seang berkata, pihaknya akan membawa kes tersebut ke mahkamah selepas siasatan selesai.

"Selepas laporan siasatan lengkap, kita akan membawa kes ini ke muka pengadilan berikutan keengganan operator kuari menghentikan operasi walaupun notis berhenti kerja telah diberikan," katanya ketika dihubungi tadi.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mengakui kerajaan negeri mengetahui kewujudan kuari granit itu yang beroperasi secara haram.

Menurutnya, isu itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Exco Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pulau Pinang dan MBPP mengambil tindakan tegas terhadap operator kuari granit haram di Teluk Bahang kerana memusnahkan alam sekitar di kawasan terbabit.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk memberhentikan operasi selain mengheret operator kuari tersebut ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya.

Menurutnya, selain itu, operator kuari perlu memulihkan semula kawasan yang musnah akibat operasi kuari haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Desak henti operasi kuari granit haram